Sukan Olimpik Tokyo mungkin dibatalkan jika COVID-19 masih berterusan

Agensi
Julai 22, 2020 20:48 MYT
Untuk rekod, temasya sukan dunia itu ditangguhkan ke 23 Julai 2021. - Gambar fail/REUTERS
Temasya Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan ke tahun hadapan berkemungkinan tidak akan diteruskan sekiranya pandemik COVID-19 masih berterusan.
Menerusi temu bual bersama media tempatan NHK, Presiden Tokyo 2020, Yoshiro Mori berharap situasi pandemik ini beransur pulih dan menyatakan hanya vaksin dapat membaik pulih keadaan ketika ini.
"Jika situasi pandemik ini masih berterusan, kita tidak boleh menganjurkan temasya sukan ini. Sama ada ia boleh diteruskan atau tidak, semuanya terletak kepada sikap manusia untuk membendung penularan ini.
"Terutamanya untuk menghasilkan vaksin atau ubat bagi mencegah COVID-19," jelasnya.
Untuk rekod, temasya sukan dunia itu ditangguhkan ke 23 Julai 2021.
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Jepun yakin anjuran temasya ini akan diteruskan pada tahun depan dengan beberapa garis panduan yang sudah ditetapkan.
BACA: Olimpik Tokyo 2020: JOC akan lakukan yang terbaik
Mereka turut berpendapat temasya ini tidak boleh ditunda lagi dan akan dibatalkan sekiranya ia tidak berlangsung tahun hadapan.
Persoalan yang sering dibangkitkan kini adalah sama ada para atlet terutamanya anak muda akan diberikan vaksin sekiranya ia berjaya dibangunkan dalam masa terdekat.
Timbul juga persoalan sama ada para penonton akan dibenarkan masuk ke dalam venue dan adakah atlet dari luar negara perlu dikuarantin.
Bagaimanapun kesemua garis panduan ini hanya akan diumumkan musim luruh nanti.
#batal #COVID-19 #pandemik #Sukan Olimpik Tokyo #vaksin #Yoshiro Mori
;