Sukan Olimpik Tokyo: Misi hidup mati Sharmendran

Astro Arena
Julai 15, 2020 20:29 MYT
Sharmendran mengambil risiko menangguhkan pembedahan kecederaan lutut kanannya. - Astro Arena
MEMANDANGKAN sukan karate akan dipertandingkan buat pertama kali dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, ia akan menjadi edisi yang julung-julung kali mempertandingkan sukan tempur itu memandangkan tuan rumah edisi 2024, Paris, tidak menyenaraikannya dalam acara sukan yang akan dipertandingkan.
Mengambil kira perkara itu, atlet karate negara, R. Sharmendran, akan berusaha keras meraih tempat untuk beraksi dalam temasya sukan terbesar itu dan seterusnya berjuang untuk memenangi pingat.
Ia termasuk mengambil risiko menangguhkan pembedahan kecederaan lutut kanannya, yang telah dialami atlet acara kumite berusia 28 tahun itu sejak Disember 2018, walaupun perlu menanggung kesakitan.
"Selepas ini, mungkin tidak ada lagi acara karate dalam Sukan Olimpik atau itu (Olimpik Tokyo) boleh menjadi pertandingan terakhir saya, kita tidak tahu.
"Jadi buat masa ini, saya hanya perlu mempersiapkan yang terbaik untuk menghadapi kejohanan kelayakan itu," ujarnya.
Ulas Sharmendran mengenai kecederaannya, dia tidak mahu menjalani pembedahan sekarang walaupun ia menyakitkan.
"Ini adalah peluang terakhir, saya boleh melakukannya selepas Sukan Olimpik, malahan sebelum Sukan SEA Filipina 2019, saya memerlukan masa lapan bulan untuk pulih tetapi saya dapat kembali dalam masa empat bulan.
"Ketika itu saya mengambil beberapa suntikan PRP (Platelet-rich Plasma) dan ubat-ubatan untuk terus bersaing walaupun dalam kesakitan.
"Karate adalah sukan tempur, jadi saya perlu melawan rasa sakit itu," kata pemenang pingat emas kategori bawah 75 kg lelaki Sukan SEA 2017 dan 2019 itu.
#atlet negara #Olimpik Tokyo #r sharmendran #sukan karate #Sukan Olimpik #temasya olimpik
;