Sukan Olimpik Tokyo: Azreen Nabila sebak tunai hajat arwah bapa
Astro Arena
Julai 2, 2021 05:24 MYT
Julai 2, 2021 05:24 MYT
TIDAK pernah ada dalam kamus hidup untuk menjadi seorang atlet, apatah lagi perlu berjemur di bawah matahari.
Tetapi dia kini antara wakil yang membawa cabaran dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, bermula 23 Julai ini.
Pelari pecut muda negara, Azreen Nabila Alias, meluahkan perasaan bercampur baur kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, selepas merealisasikan harapan arwah bapanya yang mahu atlet berusia 21 tahun itu menjadi wakil negara.
Dia menjadi pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas mendapat tiket peluang khas yang ditawarkan badan Olahraga Dunia (WA) berikutan kejayaan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, layak secara merit.
"Saya memang tidak sangka dapat menyertai Sukan Olimpik sebab pengumumannya dibuat pada penghujung bulan lalu.
"Saya sangat terkejut dapat ke Sukan Olimpik.
"Saya sangat teruja tetapi dalam masa sama gementar sebab ini adalah penyertaan pertama saya," katanya dalam Nadi Arena malam tadi.
Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu pada awalnya bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan dalam bidang perniagaan.
Namun, kasih kepada ibu bapa yang selalu memujuknya menyertai sekolah sukan di Setiu, Terengganu, Azreen akhirnya diturutkan jua.
"Pada mulanya saya tidak mahu menyertai Sekolah Sukan Negeri Bukit Nenas pada umur 13 tahun.
"Ibu yang memberi nasihat dan suruh saya mencuba ke sana.
"Sebelum bapa meninggal dunia pada 2014, dia ada memberikan nasihat sebab sebelum itu saya ada juga mendapat tawaran daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Tapi masa itu saya macam susah hendak berjauhan dengan keluarga.
"Kemudian saya terus bersekolah di Bukit Nenas hingga tingkatan lima sebelum ke SSBJ kerana memasuki pra-universiti.
"Saya pergi ke SSBJ kerana ingin tunaikan hajat ayah yang hendak sangat (melihat) saya ke Bukit Jalil.
"Kalau dia masih ada, mesti dia berbangga dengan saya," katanya sambil menahan sebak.
Pada usia muda dia bakal beraksi di pentas tertinggi, lebih-lebih lagi dengan cabaran COVID-19 yang mendorong tiada sebarang kejohanan antarabangsa dapat disertainya.
Bagaimanapun, Azreen tetap bersedia daripada segi mental dan fizikal bagi menyahut cabaran di bumi Matahari Terbit itu biarpun dia sebenarnya menyasar untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
#arwah bapa
#wakil negara
#atlet
#Azreen Nabila Alias
#Sukan Olimpik Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#kom
#usahawan
#sekolah sukan