Sukan Olimpik Tokyo: Azizulhasni tenang ranking dunia tergelincir

Astro Arena
Jun 19, 2021 04:46 MYT
Dalam keadaan pandemik ini, tidak banyak kejohanan yang boleh disertai, kata Azizulhasni. - Gambar fail
TIGA puluh tiga hari lagi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, Azizulhasni Awang bakal turun dalam temasya keempat dalam kariernya, namun ketika ini ranking dunianya dalam acara pecut sudah jatuh ke tangga kelima.
Ironinya lawan yang pernah ditumbangkan dalam Sukan Asia Indonesia 2018, Tomohiro Fukaya, mendaki puncak nombor dunia menjelang temasya Tokyo 2020 yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
"Selepas habis peringkat kelayakan (Kejohanan Dunia) di Berlin pada tahun lalu, kami tidak begitu hirau sangat ranking dunia. Sebagai pelumba profesional kami tidak rujuk sangat dah.
"Semua pelumba mula menumpukan persiapan Sukan Olimpik, tidak pergi menyertai kejohanan.
"Tambahan pula dalam keadaan pandemik ini, tidak banyak kejohanan yang boleh disertai," katanya ketika ditemu bual maya bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri, semalam.
Sumber Facebook photo.php?fbid=339433197545379&set=p.339433197545379&type=3"><
Walaupun Jepun tidak menyenaraikan Fukaya untuk mengibarkan cabaran Matahari Terbit itu dalam, The Pocket Rocketman tetap berwaspada dengan ancaman tuan rumah menerusi Yudai Nitta dan Yuta Wakimoto yang mungkin boleh menjadi duri dalam daging buat dirinya.
"Kedua-dua pelumba ini saya anggap sebagai pelumba handalan terutama Wakimoto.
"Saya pernah berlumba dengannya banyak kali dan dia agak konsisten dalam acara keirin.
"Dia mendapat pingat perak ketika di Berlin," katanya lagi yang kini berada di tanah air.
Satu lagi nama yang bakal jadi pencabar buat pelumba kelahiran Terengganu itu ialah Harrie Layversen yang mempunyai reputasi hebat sebagai juara Eropah dan memiliki koleksi enam kejuaraan dunia dalam acara pecut dan keirin.
"Biasanya kami tidaklah memantau apa yang mereka buat dan keadaan semasa mereka.
"Dalam Kejohanan Dunia lalu, kami ada mengenal pasti mana-mana pelumba yang mampu menjadi ancaman besar.
"Contohnya dalam keirin, siapa jua yang layak ke final dianggap mempunyai kemampuan untuk beri cabaran dalam Sukan Olimpik kelak.
"Sepanjang persiapan ini, kami hanya fokus kepada diri sendiri. Tiada sebab untuk kami fokus kepada lawan, ia di luar bidang kuasa kami.
"Jadi kami hanya tumpukan tentang bagaimana untuk memajukan diri sebanyak mungkin."
#Azizulhasni Awang #Sukan Olimpik Tokyo 2020 #pecut #Berbasikal Trek #Tomohiro Fukaya #Olimpik Tokyo #pandemik #Harrie Layversen #ranking dunia #pelumba profesional
;