Sukan Olimpik Paris: Cadang atlet angkat berat sertai Program RTG

Astro Arena
September 7, 2023 07:45 MYT
Berdasarkan prestasi semasa, PABM beranggapan Aznil (kiri) dan Aniq (kanan) perlu diberikan peluang serta sokongan sewajarnya dalam misi buru slot ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024. - Gambar fail/Sinar Harian
PRESIDEN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, mengesahkan badan induk itu sudah berhubung dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, berkenaan hasrat untuk menyenaraikan Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan dalam Program Road to Gold (RTG).
Jelas Ayub, PABM akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Jawatankuasa RTG untuk menilai permohonan berkenaan.
Berdasarkan prestasi semasa, PABM beranggapan duo badang negara ini perlu diberikan peluang serta sokongan sewajarnya dalam misi buru slot ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
PABM dalam perkembangan sama turut percaya Aznil dan Aniq masih mempunyai peluang terbuka untuk merebut slot tunggal ke Paris kategori 61kg.
Dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Arab Saudi minggu lalu, Aniq mencipta sejarah apabila meraih pingat gangsa dalam clean and jerk dengan jumlah angkatan keseluruhan 291kg, manakala Aznil menamatkan saingan di kedudukan ke-11 keseluruhan.
"Kami akan menghantar surat agar kedua-dua ini diserapkan dalam RTG.
"Dengan sokongan yang kuat, saya percaya kedua-dua atlet akan melakukan sesuatu yang lebih baik untuk negara," katanya di Nadi Arena malam tadi.
#RTG #atlet angkat berat #Sukan Olimpik Paris #Ayub Rahmat
;