Sukan Olimpik: Fokus lepasi peringkat kumpulan dahulu - Hamidin

Bernama
Julai 22, 2024 22:15 MYT
Hamidin berkata beliau tidak mahu pemain berasa tertekan sekiranya mereka terlalu fokus untuk mara sejauh mungkin pada saingan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena bermula 27 Julai hingga 5 Ogos ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Para pemain badminton negara diingatkan agar memberi tumpuan sepenuhnya untuk melepasi peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang akan dibuka secara rasmi Jumaat ini hingga 11 Ogos.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan OIimpik Paris 2024 (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau tidak mahu pemain berasa tertekan sekiranya mereka terlalu fokus untuk mara sejauh mungkin pada saingan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena bermula 27 Julai hingga 5 Ogos ini.
"Betul kita memang mahu emas, namun yang penting biar mereka, terutamanya badminton untuk sampai ke suku akhir.
"Kalau fikir terus nak jadi juara, semua itu akan beri tekanan kuat kepada atlet, jadi fokus and sasar lepasi peringkat kumpulan, layak ke suku akhir, mara seterusnya ke separuh akhir dan akhir," katanya dalam satu audio dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Hamidin yang meninjau persiapan akhir skuad badminton negara di Lille berkata pemilihan lokasi tersebut merupakan pendekatan strategik diatur BAM memandangkan ianya terletak kira-kira 219 kilometer (km) dari Paris.
Beliau berkata para pemain juga sudah bersiap sedia untuk memberi persembahan terbaik pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.
Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan setelah diundi bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol Pablo Abian dalam Kumpulan G.
Bagi acara perseorangan wanita, pemain profesional negara Goh Jin Wei diundi bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan Johanita Scholtz dalam Kumpulan H.
Saingan beregu lelaki menyaksikan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy dari England dan beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura.
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah pula berdepan tugas sukar apabila berada dalam kumpulan bersama pilihan utama dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam Kumpulan D bersama beregu ranking keenam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dan beregu nombor sembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.
Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berpeluang cerah melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, beregu Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai dan pasangan Singapura Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han.
Hanya juara kumpulan bagi acara perseorangan mara ke pusingan 16 manakala dua beregu teratas dalam kumpulan layak ke peringkat suku akhir.
-- BERNAMA
#BAM #Sukan Olimpik Paris 2024 #pingat emas #suku akhir
;