Sukan Olimpik: Azeem Fahmi akan layak ke Paris 2024
Astro Arena
Julai 6, 2023 06:45 MYT
Julai 6, 2023 06:45 MYT
AMIR Izwan Tan Abdullah, yang merupakan bekas jurulatih kepada pelari pecut negara, Azeem Fahmi, yakin pemegang rekod 100 meter kebangsaan itu akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan lonjakan prestasinya di Amerika Syarikat.
Dia juga tidak menolak kemungkinan Azeem Fahmi hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk layak secara merit ke temasya terbesar itu.
Amir Izwan, yang bertanggungjawab memupuk dan mengembangkan bakat Azeem sejak berusia 14 tahun, menganggap bekas anak buahnya itu memiliki pakej lengkap untuk menjadi seorang atlet olahraga bertaraf dunia.
Dia yang masih lagi membimbing Azeem sekiranya atlet itu pulang ke tanah air dengan berbekalkan modul daripada Universitu Auburn, percaya Azeem akan menyerlah sebagai pelari pecut terbaik yang pernah dilahirkan tanah air.
"Pada saya, bagi ungkapan yang mudah adalah dia sudah berada di sana," katanya kepada wakil Astro Arena, Akhbar Sahari.
"Ia hanya memerlukan sedikit saja masa lagi dan kesabaran daripada Azeem.
"Jika dilihat pada perkembangan latihannya memang saya percaya dan berkeyakinan tinggi bahawa Azeem akan layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024," katanya.
Terdahulu, Azeem, 19, mencipta sensasi apabila memecahkan rekod 100m kebangsaan apabila mencatatkan 10.09 saat dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada Ogos tahun lalu.