Sukan Olimpik 2024: Sudah terlambat naikkan darjah kesukaran - Nur Dhabitah

Bernama
Julai 5, 2024 13:17 MYT
Nur Dhabitah ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan dari Hamidin di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Penerjun negara Nur Dhabitah Sbari mengakui sudah terlambat untuk meningkatkan darjah kesukaran menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Nur Dhabitah yang mendapat panggilan saat akhir ke Paris 2024 berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya setahun dalam usahanya meningkatkan darjah kesukaran baharu bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.
"Degree of difficulty (darjah kesukaran) memang tak sempat naik. Paling tinggi saya buat dalam acara 3m papan anjal ialah 3.1.
"Pada masa akan datang mungkin (naikkan darjah kesukaran). Ia beri faedah yang banyak tetapi perlu lakukan dengan baik jika nak dapat markah banyak," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan dari Ketua Kontinjen negara ke Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin di sini hari ini.
Biarpun tidak mampu tampil dengan darjah kesukaran baharu namun atlet berusia 24 tahun itu berharap dapat beraksi lebih menyerlah berbanding pada penampilan kedua di pentas Olimpik iaitu Tokyo 2020.
Justeru, Nur Dhabitah mahu menggunakan baki kira-kira tiga minggu sebelum temasya sukan itu membuka tirai untuk meningkatkan intensiti latihan dan memperbaiki terjunan termasuk ketika menjalani latihan fasa akhir di United Kingdom (UK) bermula minggu depan.
"Saya hanya nak tingkatkan markah kerana pemarkahan kali ini lebih ketat. Kali ini saya hanya perlu lebih tenang," katanya yang berkemungkinan berlatih bersama penerjun dari Australia di UK nanti.
Atlet itu berkata latihan di UK juga membantunya mengadaptasi dengan cuaca dan zon masa benua Eropah sebelum membawa cabaran negara di Paris 2024.
Penerjun dari Kuala Lumpur pada masa sama enggan terlalu memikirkan soal pingat dan hanya fokus menyajikan terjunan terbaik pada saingan berlangsung di Pusat Akuatik di Saint Denis dari 27 Julai hingga 10 Ogos.
Pada penampilan sulung di Rio 2016, Nur Dhabitah beraksi dalam acara 10m platform individu dan acara 3m papan anjal seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong.
Pencapaian terbaiknya di pentas Olimpik adalah pada edisi lepas di Tokyo yang menyaksikan beliau meraih tempat keempat bagi acara 3m papan anjal individu wanita dengan memungut 326.15 mata.
Nur Dhabitah yang gagal layak secara merit bakal beraksi di Sukan Olimpik 2024 menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain dan akan mengiringi Bertrand Rhodict Lises selepas penerjun muda dari Sarawak muncul atlet pertama negara layak secara automatik ke Paris.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Nur Dhabitah Sbari #United Kingdom #latihan
;