Sukan Komanwel: Tze Yong bangkit tumbangkan Kidambi untuk ke final
Astro Arena
Ogos 7, 2022 20:16 MYT
Ogos 7, 2022 20:16 MYT
PERSEORANGAN lelaki negara, Ng Tze Yong, mara ke final Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan jaguh India, Srikanth Kidambi, di Dewan NEC 5 sebentar tadi.
Selepas menewaskan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, dalam suku akhir semalam, Tze Yong, bagaimanapun, bermula perlahan sebelum tewas 13-21 dalam set pertama.
Bagaimanapun, jaguh negara itu mula mempamerkan aksi sebenarnya dalam set kedua, di mana dia menamatkan saingan sengit berkenaan dengan kemenangan 21-19.
Masalah kepenatan mula mengganggu Kidambi dalam set penentuan dan Tze Yong jelas memanfaatkan situasi itu, di mana dia hanya melepaskan 10 mata kepada lawan di ranking ke-13 dunia berkenaan untuk mengesahkan tempat ke final.
Selepas membantu skuad negara memenangi acara berpasukan campuran pada Rabu lalu ,Tze Yong -- yang kini berada di ranking ke-42 dunia -- berpeluang untuk merebut pingat emas peribadi keduanya apabila turun menentang seorang lagi jaguh perseorangan India, Lakhsya Sen, dalam penentuan gelaran esok.
Artikel asal di Stadium Astro.