Sukan Komanwel: Suasana meriah sambut kepulangan skuad gimrama negara
Bernama
Ogos 9, 2022 23:30 MYT
Ogos 9, 2022 23:30 MYT
SEPANG: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi bergema dengan tepukan gemuruh peminat sukan tanah air apabila menerima ketibaan barisan atlet gimrama kebangsaan yang berjaya mengharumkan nama negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Barisan skuad gimrama negara dibarisi pengurus pasukan Corine Beh Yeat Chen serta ketiga-tiga atlet gimnas negara Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan yang pulang dengan pesawat Turkish Airlines Penerbangan TK060, selamat mendarat di KLIA pada 5.15 petang.
Penyumbang pingat emas kelima dan keenam temasya itu, gimnas muda negara Joe Ee serta pemenang pingat gangsa Izzah disambut keluarga dan peminat sukan tanah air dengan jambangan bunga dan sorakan gemuruh.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Abdullah Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias.
Pada temasya itu, Joe Ee iaitu gimnas berusia 16 tahun menyumbangkan emas kelima melalui disiplin bola dan selang beberapa jam kemudian menghadiahkan pingat emas keenam kepada Malaysia dalam disiplin riben, sekali gus melakar sejarah sebagai gimnas Malaysia pertama membawa pulang dua emas individu di Sukan Komanwel.
Seorang lagi gimnas, Izzah berjaya meraih gangsa dalam final disiplin belantan yang berlangsung pada Sabtu lalu di Arena Birmingham.
Kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di kedudukan 10 selepas merangkul tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa secara keseluruhan pada temasya yang berlangsung dari 28 Julai hingga semalam.
-- BERNAMA