Sukan Komanwel: Skuad skuasy teruskan aksi cemerlang
Bernama
Ogos 6, 2022 05:15 MYT
Ogos 6, 2022 05:15 MYT
BIRMINGHAM: Skuad skuasy negara meneruskan aksi cemerlang di Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila pasangan Ng Eain Yow-Ivan Yuen Chee Wern menempah slot ke separuh akhir acara beregu lelaki di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham, di sini, pada Sabtu.
Gandingan Malaysia itu mara dalam kelompok empat beregu terbaik selepas menumpaskan wakil India Velavan Senthilkumar-Abhay Singh 2-0 (11-8, 11-8) di suku akhir, semalam.
Pasangan negara itu dijadual berdepan beregu tuan rumah James Willstrop-Declan James di separuh akhir hari ini.
Wakil England itu menewaskan pasangan dari Australia Cameron Pilley-Rhys Dowling, 2-0 (11-7, 11-4) dalam satu lagi aksi suku akhir.
Kelmarin, dua pasangan beregu skuasy wanita negara berada di landasan tepat dalam memburu pingat pada temasya kali ini apabila melangkah ke separuh akhir.
Beregu utama negara, Aifa Azman-Rachel Arnorld dijadual berdepan wakil tuan rumah, Sarah-Jane Perry dan Alison Waters sementara Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi pula akan berdepan Joelle King-Amanda Landers Murphy dari New Zealand.
Kedua-dua perlawanan separuh akhir beregu wanita itu turut akan berlangsung Ahad.
-- BERNAMA