Sukan Komanwel: 'Saya tidak biasa dengan keadaan ini' - Hoe Yen

Bernama
Julai 30, 2022 10:30 MYT
Atlet Renang Kebangsaan Khiew Hoe Yean melihat skrin markah selepas beraksi pada 200 meter (m) gaya bebas lelaki. - Foto fail/BERNAMA
BIRMINGHAM: Atlet renang meningkat naik negara Khiew Hoe Yean mengakui kegagalannya menyerlah dalam acara kegemaran - 400 meter (m) gaya bebas - kerana sedikit gementar dengan keghairahan hampir 4,000 penonton membanjiri Pusat Akuatik Sandwell pada Jumaat.
Hoe Yean yang membuat penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 menamatkan saingan acara 400m gaya bebas lelaki akhir di tempat keenam selepas mencatatkan 3 minit 49.95 saat (s).
Atlet berusia 19 tahun itu juga kecewa kerana gagal memperbaharui rekod kebangsaan 3:48.72s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan lepas.
"Saya tidak biasa dengan keadaan ini (penonton yang ramai). Saya harap dapat lakukan lebih baik pada temasya Komanwel akan datang (Victoria, Australia).
"Saya mahu lupakan acara hari ini dan fokus sepenuhnya kepada acara seterusnya esok 200m gaya bebas lelaki," katanya kepada Bernama selepas aksi final.
Australia menyapu bersih acara itu menerusi Elijah Winnington memenangi emas dengan 3:43.06s, diikuti Sam Short (3:45.07s) untuk perak manakala gangsa diraih Mack Horton (3:46.49s).
Hoe Yean juga akan beraksi dalam acara 100m gaya bebas dan 200m kuak lentang.
Sementara itu, dalam peringkat separuh akhir acara 50m kuak dada wanita, Phee Jinq En menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 32.54s, sekali gus tidak layak ke final.
Jinq En menduduki tempat ke-13 daripada 16 perenang selepas dua separuh akhir yang menyaksikan hanya lapan terbaik layak ke final pada Sabtu.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel #Khiew Hoe Yean #renang #Pusat Akuatik Sandwell
;