Sukan Komanwel: Sasaran enam emas bukan jalan selamat - MOM
Bernama
Ogos 5, 2022 07:20 MYT
Ogos 5, 2022 07:20 MYT
BIRMINGHAM: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak mengambil jalan selamat dalam menetapkan sasaran enam pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, sebaliknya, menjelaskan sasaran tersebut merupakan pendekatan realistik diambil pihaknya berdasarkan prestasi semasa barisan atlet negara sebelum bertanding dalam temasya empat tahun sekali itu.
"Kita (MOM) bukan 'play safe', pertama sekali kita harus tunjuk jangkaan realistik kerana tak nak beri tekanan tidak perlu atau beban kepada atlet kita.
"Kalau kita lakukan perancangan or mengukur kemampuan kita...biarlah ia sesuatu boleh dicapai bukan bercita-cita tinggi yang akhirnya akan memakan diri kita," katanya dalam satu pertemuan bersama media Malaysia, di sini, pada Jumaat.
Kontinjen Malaysia yang sebelum ini meletakkan sasaran awal tujuh emas terpaksa dikurangkan kepada enam emas susulan penarikan diri jaguh perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia serta kemalangan melibatkan pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari.
Katanya, strategi mengubah sasaran tersebut dilihat memberi peluang kepada atlet negara untuk membuktikan mereka adalah golongan yang sanggup berjuang bermati-matian dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di Birmingham.
Dalam pada itu, Mohamad Norza, yang berpuas hati dengan prestasi kontinjen negara setakat ini, juga optimis mereka berada dalam landasan terbaik menepati sasaran enam emas selepas berjaya merangkul empat emas setakat ini sebelum temasya melabuhkan tirainya, 8 Ogos ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Malaysia boleh menjangkaui sasaran ditetapkan sekiranya pemain badminton, boling padang dan atlet terjun menampilkan prestasi cemerlang pada temasya sukan berprestij itu.
Ditanya mengenai bentuk ganjaran yang menanti atlet negara, beliau memaklumkan masih terlalu awal untuk memikirkannya kerana mahu kontinjen negara menghabiskan baki perjuangan di Birmingham terlebih dahulu.
-- BERNAMA