Sukan Komanwel: Sasaran baharu pingat emas diumum Selasa depan
Bernama
Julai 14, 2022 18:23 MYT
Julai 14, 2022 18:23 MYT
KUALA LUMPUR: Sasaran baharu pingat emas negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan diumum pada Selasa depan, kata Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham Gerard Monteiro.
Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan esok antara pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menentukan unjuran pingat terbaharu kontinjen negara.
"Keputusan tersebut terletak pada pihak MOM dan MSN, mereka akan bincangkan sasaran baharu itu esok, akan diumumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang," katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan atlet ping pong di MSN di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sama ada sasaran itu akan kekal atau berubah.
Gerard berkata skuad terjun dan badminton telah mencatatkan keputusan yang baik dalam kejohanan yang disertai baru-baru ini.
"Sebelum ini, skuad terjun negara mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan terjun dunia.
"Pasangan beregu badminton negara Pearly Tan dan M Thinaah juga melakukan yang terbaik di kejohanan Malaysia Masters, jadi ia memberikan kita harapan baharu untuk mencapai sasaran pingat," katanya.
Sebelum ini, MOM menyasarkan tujuh emas menerusi badminton (dua emas) manakala gimrama, boling padang, angkat berat dan skuasy serta powerlifting masing-masing satu emas pada temasya yang akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos itu.
Sasaran pingat berubah susulan penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara Lee Zii Jia dan atlet skuasy wanita negara S. Sivasangari yang tidak dapat beraksi kerana terlibat dalam kemalangan.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel
#Sukan Komanwel Birmingham
#Gerard Monteiro
#Majlis Olimpik Malaysia
#MOM
#Majlis Sukan Negara
#MSN