Sukan Komanwel menutup tirai, penganjuran terbaik
Bernama
Ogos 4, 2014 10:22 MYT
Ogos 4, 2014 10:22 MYT
Temasya Sukan Komanwel ke-20 berakhir Ahad malam dalam majlis gilang-gemilang dan padat dengan persembahan hiburan di Hampden Park.
Venue yang menjadi penganjuran acara olahraga itu, bergema oleh laungan kira-kira 45,000 penonton apabila dihiburkan oleh penyanyi antarabangsa seperti Kylie Minogue, Lulu, Deacon Blue dan Prides yang menyanyikan lagu-lagu popular mereka.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Sukan Komanwel Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan 'Clydesiders' dan penduduk Glasgow yang berjaya menganjurkan temasya itu.
"Glasgow anda benar-benar berjaya menyampaikan dalam segala aspek, penganjuran Sukan Komanwel terbaik," katanya.
Bendera Sukan Komanwel kemudian diturunkan dan diserahkan kepada Datuk Bandar Gold Coast Tom Tate, penganjur temasya sukan itu empat tahun lagi.
Sukan Komanwel Glasgow ditutup secara rasmi oleh Earl of Wessex, Putera Edward.
Di penghujung acara itu, Stadium Hampden bergema dengan nyanyian lagu rakyat Scotland seperti 'Caledonia' dan 'Auld Lang Syne' diiringi oleh kumpulan bagpipe.
Sepanjang 11 hari penganjuran Sukan Komanwel, England muncul juara keseluruhan mengumpul 58 pingat emas, 59 perak dan 57 gangsa, manakala tuan rumah, Scotland berjaya menduduki tempat keempat, kedudukan terbaik sejak penganjuran temasya itu dengan 19 emas, 15 perak dan 19 gangsa.
Malaysia mengakhiri kempen temasya itu dengan kedudukan ke-12 apabila meraih enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.