Sukan Komanwel: Kurang pengalaman punca Andre tidak menyerlah - Jurulatih

Bernama
Ogos 8, 2022 11:02 MYT
Pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Mei lalu, Andre beraksi cemerlang dan berjaya memenangi pingat emas. - Gambar fail/BERNAMA
BIRMINGHAM: Kurang pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa merupakan faktor utama kegagalan atlet olahraga negara Andre Anura Anuar untuk menyerlah pada aksi lompat kijang lelaki akhir Sukan Komanwel 2022 Birmingham, di sini, pada Ahad.
Jurulatihnya Ahmad Firdaus Salim berkata Andre yang tidak merekodkan sebarang catatan di Stadium Alexander selepas kesemua tiga percubaannya batal, dilihat tidak mampu mengawal tekanan beraksi di samping jaguh dunia.
"Ini merupakan penampilan kedua Andre dalam peringkat tertinggi, tiga bulan selepas merangkul emas pada Sukan SEA Hanoi, Mei lepas.
"Siapa yang tidak kecewa, namun bukan rezeki Andre kali ini, jika cukup pengalaman saya rasa tiada masalah untuknya beraksi lebih baik pada masa depan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, atlet India Eldhose Paul melakukan lompatan sejauh 17.03 meter (m) untuk merangkul emas manakala rakan sepasukannya Abdulla Aboobacker Narangolintevid meraih perak (17.02m) dan gangsa dimenangi Jah-Nai Perinchied dari Bermuda (16.92m).
Ahmad Firdaus percaya Andre yang merupakan pemegang rekod kebangsaan lompat jauh dengan catatan 8.02m di Sukan SEA 2019 di Manila berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam acara tersebut.
Katanya, atlet Sabah itu memiliki teknik yang diperlukan namun perlu melipatgandakan latihan, selain kerap menyertai pertandingan termasuk peringkat antarabangsa sekiranya mahu berjaya pada masa depan.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel Birmingham 2022 #Andre Anura Anuar #lompat kijang #Ahmad Firdaus Salim
;