Sukan Komanwel: Khairul Hafiz berdepan tugas berat untuk layak secara merit

Astro Arena
Ogos 26, 2017 17:18 MYT
Khairul Hafiz perlu melepasi had kelayakan 10.15 saat, 0.03s lebih pantas berbanding rekod kebangsaan 10.18s miliknya. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
JAGUH pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, berdepan tugas berat melepasi had kelayakan ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, tahun depan apabila perlu memecahkan rekod kebangsaan untuk layak secara merit.
Khairul Hafiz perlu melepasi had kelayakan 10.15 saat, 0.03s lebih pantas berbanding rekod kebangsaan 10.18s miliknya.
Dia kini berdepan tugas berat kerana belum pernah melakukan catatan itu dalam sebarang kejohanan, termasuk sesi latihan.
Begitupun, pelari terpantas Asia Tenggara ini sedia menyahut cabaran untuk layak secara merit.
"Saya meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel tahun hadapan.
"Buat masa ini, saya mahu segera pulih daripada kecederaan dan kembali ke (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) Bandar Penawar untuk menjalani latihan," jelasnya.
Keyakinan sama turut disuarakan jurulatihnya, Mohd Poad Kassim, yang optimis anak buahnya itu mampu melepasi had kelayakan tersebut.
"Saya yakin dia mampu melepasi hak kelayakan itu, kami akan membawanya untuk menjalani kejohanan untuk memastikan dia layak secara merit," katanya.
Khairul Hafiz ditemui ketika sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) ekoran kecederaan hamstring.
Dia disahkan mengalami koyak otot paha kiri dan dinasihatkan berehat sekurang-kurangnya dua minggu.
#kelayakan #Khairul Hafiz Jantan #Sukan Komanwel #Sukan SEA
;