Sukan Komanwel: Joe Ee, Aznil paling berjaya - MOM
Bernama
Ogos 8, 2022 05:15 MYT
Ogos 8, 2022 05:15 MYT
BIRMINGHAM: Gimnas muda kebangsaan Ng Joe Ee dan badang negara Mohd Aznil Bidin muncul atlet paling berjaya dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang melabuhkan tirainya pada Isnin.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan itu diukur menerusi kejayaan Joe Ee meraih dua emas bagi disipilin bola dan riben manakala Mohd Aznil merangkul emas acara 61 kilogram (kg) lelaki selain mencipta tiga rekod baharu Sukan Komanwel dalam snatch (127kg) dan clean and jerk (158kg) dengan angkatan keseluruhan 285kg.
Mohamad Norza dalam sidang media rumusan prestasi atlet pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham berkata kejayaan Mohd Aznil dan rakan sepasukannya membuktikan kem angkat berat menjadi pasukan paling cemerlang dengan membawa pulang dua emas dan satu perak serta memecah empat rekod kejohanan secara keseluruhan.
Selain Aznil, satu lagi emas disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55kg manakala Muhammad Erry Hidayat menyumbang perak dalam kategori 73kg.
Bagi kem gimrama pula, Mohamad Norza kagum dengan semangat ditampilkan barisan gimnas negara kerana walaupun tanpa kehadiran jurulatih dari Rusia yang disekat masuk ke United Kingdom sebelum ini bukan penghalang bagi mereka daripada beraksi cemerlang pada temasya sukan itu.
Katanya, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang mencatat rekod baharu temasya dengan angkatan 220kg membuktikan beliau sememangnya luar biasa, diikuti pujian buat skuad badminton meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa manakala ping pong pula mengejutkan juara bertahan India, dalam saingan suku akhir acara berpasukan wanita.
Pada masa sama, Mohamad Norza turut mengiktiraf pencapaian atlet muda yang menyinar pada temasya kali ini dengan menyaksikan lapan daripada 28 atlet muda bawah 21 tahun memenangi pingat, sekali gus menunjukkan negara tidak ketandusan bakat muda mampu menyumbang pingat di temasya sukan besar.
Selain Joe Ee dan Mohamad Aniq, enam lagi atlet muda negara adalah tiga atlet ping pong Choong Javen (perak), Karen Lyne (dua perak) dan Tan Ai Xin (perak); Aifa Azman dari skuasy (gangsa); atlet terjun Gabriel Gilbert Daim (perak) dan atlet judo Amir Daniel Abdul Majeed (gangsa).
"Amir Daniel dari sukan judo berumur 17 tahun telah membuktikan pemilihan beliau ke Sukan Komanwel bukan sekadar pelengkap kuota kontinjen apabila berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 73kg," katanya.
Walaupun tanpa kelibat pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia yang menarik diri daripada Sukan Komanwel sebelum ini, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata pemain gantian Ng Tze Yong telah membuktikan kebolehannya memberi tentangan sengit kepada bintang utama dunia di sini.
"Tze Yong tidak diletakkan sebarang sasaran. Beliau telah membuktikan mampu menggalas tanggungjawab diberikan termasuk berjaya menewaskan Kidambi Srikanth, 21-19, 8-21, 21-16, pada perlawanan akhir dalam acara berpasukan campuran dan membantu pasukan badminton negara memenangi pingat emas yang disasarkan," tambahnya.
Tze Yong yang membuat kemunculan pertamanya pada temasya kali ini mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih perak acara perseorangan lelaki selepas tewas kepada Lakshya Sen dari India 21-19, 9-21, 16-21.
Selain Mohd Aznil, Mohamad Norza berkata prestasi atlet senior lain termasuk atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut membanggakan dan menjadi tonggak kejayaan kepada kontinjen Malaysia di Birmingham.
"Shah Firdaus pula telah membuktikan beliau mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Azizulhasni Awang dengan memenangi pingat gangsa dalam acara keirin. Tumpuan kini terarah kepada beliau untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti," katanya.
Malaysia yang meraih tujuh emas serta masing-masing lapan perak dan gangsa pada edisi di Birmingham 2022, menamatkan cabaran di tangga kesepuluh secara keseluruhan.
Pencapaian dilakar kontinjen negara itu sekali gus menyamai rekod tujuh emas dicatatkan mereka pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
-- BERNAMA