Sukan Komanwel: Jinq En, Bryan antara 16 perenang terbaik layak ke separuh akhir

Bernama
Ogos 1, 2022 05:00 MYT
Jinq En menduduki tempat kelima pada Saringan 4 acara 100m kuak dada wanita dengan mencatat masa satu minit 11.32s. - Foto Astro ARENA
BIRMINGHAM: Perenang wanita Phee Jinq En dan perenang muda negara Bryan Leong Xin Ren melangkah ke separuh akhir pada hari keempat acara renang Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini pada Isnin.
Jinq En menduduki tempat kelima pada Saringan 4 acara 100 meter (m) kuak dada wanita dengan mencatat masa satu minit 11.32 saat (s) di Pusat Akuatik Sandwell di sini.
Keputusan itu menyaksikan Jinq En berada di kedudukan ke-14 keseluruhan manakala Lara van Niekerk dari Afrika Selatan muncul perenang terpantas daripada 28 peserta dalam empat saringan.
Ini adalah penampilan berturut-turut Jinq En di sini selepas beliau layak dalam acara saringan 50m kuak dada wanita, Jumaat lepas.
Bagaimanapun, beliau gagal ke final selepas sekadar merekodkan masa 32.54s untuk menduduki tempat ketujuh pada separuh akhir pertama.
Sementara itu, Bryan berjaya membalas dendam setelah tersingkir dalam pusingan awal acara 50m kuak kupu-kupu lelaki Jumaat lepas, apabila mara ke separuh akhir, kali ini dalam aksi 100m kuak kupu-kupu lelaki, selepas menamatkan saingan pada tempat keenam dalam Saringan 7 dengan catatan masa 53.94s.
Ini meletakkan Bryan di tempat ke-13 keseluruhan. Joshua Liendo Edwards dari Kanada mengungguli carta dengan 51.36s.
Hanya 16 perenang terbaik daripada kedua-dua acara berkenaan layak ke separuh akhir yang akan diadakan lewat semalam.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel #renang #Phee Jinq En #Bryan Leong Xin Ren
;