Sukan Komanwel: Impian Javen-Karen rangkul pingat emas musnah

Bernama
Ogos 8, 2022 10:30 MYT
Aksi Pemain beregu ping pong negara, Karen Lyne(kanan) dan Choong Javen(dua, kiri) menentang pasangan dari India, Akula Sreeja dan Kamal Achanta Sharath. - Foto BERNAMA
BIRMINGHAM: Impian pasangan pemain ping pong negara Javen Choong dan Karen Lyne untuk merangkul pingat emas musnah apabila tewas di pentas final acara beregu campuran pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham semalam.
Beregu negara itu kecundang 1-3 kepada pasangan dari India Sharath Kamal Achanta-Sreeja Akula dalam saingan yang berlangsung di Pusat Pameran Nasional (NEC) di sini.
Gandingan Malaysia itu tumpas 4-11, 11-9, 5-11 dan 6-11.
Biarpun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, pencapaian beregu negara itu dianggap membanggakan kerana Malaysia belum pernah memenangi sebarang pingat dalam acara beregu campuran pada temasya Sukan Komanwel.
Pasangan Singapura Clarence Chew Zhe Yu-Zeng Jian meraih gangsa selepas menewaskan wakil Australia Nicholas Lum dan Jee Minhyung 3-1 (11-8, 11-6, 7-11, 14-12).
Turun sebagai beregu bukan pilihan pada temasya kali ini, gandingan negara itu sebelum ini mencipta sensasi apabila layak ke pentas final.
Mereka mengejutkan pilihan utama dari India Sathiyan Gnanasekaran-Manika Batra di suku akhir, sebelum menyingkirkan pilihan ketiga, Clarence-Zeng Jian, di separuh akhir, pada Sabtu.
Ketika ditemui pemberita, Karen berkata beliau tidak menyangka dapat memenangi dua pingat perak pada temasya kali ini, selepas meraih pingat berkenaan dalam acara berpasukan wanita.
"Pencapaian menang dua pingat perak (di sini) macam mimpi. Segala usaha dan persediaan yang kita lakukan memang sukar tetapi kejayaan ini sangat berbaloi," katanya.
Sementara itu, Javen berkata pencapaian skuad ping pong pada temasya ini akan membuka mata pelbagai pihak bahawa sukan itu mampu pergi lebih jauh di pentas antarabangsa.
"Sebelum ini, tiada orang pandang sukan ping pong kerana kita tiada pencapaian tetapi dengan kejayaan ini, akan buka mata pelbagai pihak untuk memberi sokongan kepada sukan ping pong negara," katanya.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel Birmingham 2022 #ping pong #Javen-Karen #pingat perak
;