Sukan Komanwel: Ho Ying tak percaya bawa Malaysia ke final
Bernama
Ogos 1, 2022 09:30 MYT
Ogos 1, 2022 09:30 MYT
BIRMINGHAM: Bagaikan satu mimpi.
Wira skuad ping pong negara, Ho Ying, tidak percaya apabila dapat membantu menamatkan penantian lapan tahun Malaysia untuk mara ke pentas final selepas mengatasi Wales, 3-2, dalam separuh akhir acara berpasukan wanita pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, di sini, pada Ahad.
Ying menyumbang mata kemenangan untuk Malaysia dengan menumpaskan Charlotte Carey, 7-11, 11-9, 10-12, 11-7, 11-8, di Pusat Pameran Nasional, juga mendedahkan jurulatih Beh Lee Wei menitiskan air mata usai pasukannya menjejakkan kaki ke akhir untuk berdepan Singapura, hari ini.
"Saya tak jangka langsung menang ke final, kami satu team sangat gembira at least dapat menang medal walau apa pun terjadi esok," katanya kepada Bernama selepas perlawanan.
Singapura layak ke final selepas menang 3-0 ke atas Australia dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Ying menjelaskan kejayaan mengejutkan juara bertahan India, 3-2, Sabtu, ternyata memberi keyakinan kepadanya terutamanya dalam berdepan situasi genting apabila menjadi harapan terakhir negara untuk ke final selepas perlawanan terikat 2-2.
Mengenai perlawanan hari ini, pemain berusia 27 tahun itu yang merupakan pemenang gangsa acara beregu wanita bersama Karen Lyne pada edisi Gold Coast 2018, mengakui masih terdapat jurang antara barisan pemain negara dengan pasukan jiran tersebut.
"Tak berani letak menang emas kerana saya akui Singapura dibarisi pemain kelahiran China namun saya harap dapat berikan yang terbaik untuk negara esok," tambahnya.
Dalam pada itu, Lee Wei, yang bangga dengan pencapaian semalam, pula menarik perhatian kejayaan membimbing anak buahnya ke perlawanan akhir memberi makna besar dalam hidupnya selepas menjadi sebahagian daripada pemain yang menyumbang pingat perak di Glasgow 2014.
Justeru, beliau berharap skuad wanita negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang dalam usaha mengejutkan Singapura, seterusnya melakar sejarah meraih emas pertama buat negara dalam sukan ping pong pada temasya sukan empat tahun itu.
-- BERNAMA