Sukan Komanwel: Empat pemain skuasy negara mara ke pusingan ketiga

Bernama
Julai 30, 2022 06:00 MYT
Aifa Azman mara selepas menumpaskan pemain India, Sunayna Sara Kuruvilla, 11-8, 11-7, 11-7, dalam acara perseorangan wanita. - Foto fail/BERNAMA
BIRMINGHAM: Empat pemain negara menampilkan aksi bertenaga apabila mara ke pusingan ketiga acara skuasy pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini.
Pemain wanita negara, Aifa Azman, mengetuai cabaran barisan pemain Malaysia ke pusingan seterusnya setelah mengatasi lawan masing-masing di pusingan kedua acara itu yang berlangsung di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham pada Sabtu.
Aifa mara selepas menumpaskan pemain India, Sunayna Sara Kuruvilla, 11-8, 11-7, 11-7, dalam acara perseorangan wanita.
Pemain kebangsaan berusia 20 tahun itu dijadual berdepan pemain Kanada, Hollie Naughton, di pusingan ketiga.
Rachel Arnold meneruskan rentak kecemerlangan Aifa apabila menumpaskan pemain Pakistan, Amna Fayyaz, 11-3, 11-2, 11-5, dan akan bertemu Tesni Evans dari Wales di pusingan seterusnya.
Chan Yiwen melengkapkan kemenangan bergaya pemain wanita negara apabila mengalahkan Faiza Zafar dari Pakistan 11-3, 11-6, 11-5, dan menanti beliau di pusingan ketiga ialah pemain tuan rumah, Perry Sarah-Jane.
Dalam acara perseorangan lelaki, Ivan Yuen Chee Wern terpaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan pemain Australia, Rhys Dowling, 11-9, 9-11, 11-5, 11-4.
Beliau akan menentang Greg Lobban dari Scotland di pusingan berikutnya.
Kemaraan seorang lagi wakil negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal dalam acara perseorangan lelaki, bagaimanapun, tersekat apabila tumpas kepada pemain Wales, Emyr Evans, 8-11, 3-11, 11-7, 7-11.
Perlawanan pusingan ketiga akan berlangsung pada Ahad.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel #Skuasy #Aifa Azman #Rachel Arnold
;