Sukan Komanwel: 'Doa emak saya makbul' - Syafiq
Bernama
Ogos 6, 2022 08:20 MYT
Ogos 6, 2022 08:20 MYT
BIRMINGHAM: 'Terima kasih emak doakan kejayaan saya di Sukan Komanwel'
Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh, bersyukur doa yang dikirimkan kepada ibunya, Masrinda Abu, ketika menunaikan ibadah haji baru-baru ini, termakbul.
Muhammad Syafiq berjaya merangkul pingat perak bersama gandingannya, Gabriel Gilbert Daim pada final acara lelaki 3 meter (m) papan anjal seirama di Sukan Komanwel 2022 Birmingham.
Beliau mengakui sama sekali tidak menyangka dapat menyumbang pingat pertama buat kem terjun negara pada temasya sukan empat tahun itu di sini selepas menyedari darjah kesukaran dilakukan mereka adalah rendah berbanding pencabar lain.
"Sudah tentu, gembira, tak sangka dapat nombor dua dan naik podium kali ini. Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa emak saya.
"Saya memang tak percaya dapat pingat, saya ada jumpa emak sehari sebelum berlepas ke Birmingham manakala ketika itu emak pula baru sahaja pulang dari ibadah haji," katanya dalam nada sebak kepada pemberita selepas majlis pengalungan pingat, di sini.
Dalam pada itu, Gabriel, 21, pula ternyata sukar menggambarkan perasaannya sebaik mengetahui mereka berjaya muncul pasangan kedua terbaik pada Jumaat.
"Kami turun sebagai 'underdog', saya tak tahu nak kata apa lagi," katanya.
Gabriel-Muhammad Syafiq mengumpulkan 376.77 mata selepas enam terjunan dalam acara berlangsung di Pusat Akuatik Sandwell, di sini.
Wakil tuan rumah, Anthony Harding-Jack David Laugher berada dalam kelas tersendiri selepas mengumpulkan 438.33 mata untuk menang emas, manakala pasangan Australia, Samuel Fricker-Shixin Li, menang gangsa (374.52 mata).
-- BERNAMA