Sukan Komanwel: 'Dah dekat tapi masih ketinggalan' bagi skuad gimrama negara
Bernama
Ogos 5, 2022 05:45 MYT
Ogos 5, 2022 05:45 MYT
BIRMINGHAM: Skuad gimnastik berirama (gimrama) negara gagal meneruskan buruan pingat pada hari kedua berturut-turut pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2020, di sini, pada Jumaat.
Selepas tercicir pingat gangsa selepas menduduki tempat keempat dalam acara berpasukan pada Khamis, gimnas berirama negara, Izzah Amzan dan Ng Joe Ee mengharungi nasib sama dalam saingan akhir acara individu all-round di Arena Birmingham semalam.
Izzah, khususnya mengalami nasib sungguh malang.
Gimnas berusia 21 tahun itu hampir menggondol pingat gangsa selepas hanya menduduki tempat keempat dengan pungutan 108.300 mata diikuti Joe Ee,16, dengan 108.200 mata.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan akhir, Joe Ee mengakui bahawa dia tidak dapat mengekalkan prestasi di hadapan Arena Birmingham yang penuh sesak.
Bagaimanapun, dia merasakan bahawa telah mendapat pengajaran berharga, terutamanya tentang cara beraksi di hadapan khalayak ramai dan berikrar untuk kembali lebih mantap apabila bersaing dalam acara aparatus bola dan riben pada Sabtu.
"Saya menjangkakan mendapat tempat ketiga tetapi memperoleh tempat kelima. Ia tidak mudah tetapi saya hanya perlu berusaha lebih gigih esok," kata gimnas yang membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Komanwel, kepada pemberita di zon campuran arena tersebut.
Gagal menahan kesedihan ekoran tidak dapat menerima keputusan, Joe E kemudian dipujuk oleh jurulatihnya Afrita Ariany Nasril.
Izzah, gimas anggota pasukan negara meraih pingat perak pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, akan tampil dalam aparatus gelung dan belantan pada hari terakhir acara gimrama hari ini.
Sementara itu, Marfa Ekimova membawa keceriaan kepada penonton tuan rumah apabila meraih emas untuk England dengan mengumpul markah keseluruhan 112.300 mata dalam pertandingan sengit dengan Anna Sokolova (112.100 mata) dari Cyprus manakala pingat gangas menjadi milik gimnas Australia, Alexandra Kiroi-Bogatyreva (111.100 mata).
-- BERNAMA