Sukan Komanwel Birmingham: Shah Firdaus mohon jalani program khas pada saat-saat akhir

Astro Arena
Julai 23, 2022 05:16 MYT
Shah Firdaus ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. - Foto Astro ARENA
PELUMBA berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, sudah bersedia menggalas misi penting dalam Sukan Komanwel Birmingham apabila berpeluang menguji Lee Valley VeloPark hari ini.
Mereka akan mula menyesuaikan diri di trek London itu sebelum acara berbasikal trek bermula Jumaat depan.
Shah Firdaus sudah bersedia 90 peratus selepas memberi fokus kepada membina kekuatan, sebelum memohon secara peribadi kepada jurulatih negara, John Beasley, untuk kayuhannya menjadi lebih ringan.
"Sudah beberapa kali saya berlumba di sana cuma treknya agak lain sikit sebab laluan lurus panjang jadi memang agak sukar untuk membuat catatan terbaik.
"Tapi dalam keirin, siapa yang di belakang memiliki kelebihan.
"Kebiasaannya menjelang kejohanan kami banyak berlatih bina kekuatan tapi ia akan mengurangkan kepantasan kayuhan.
"Tapi saya sudah berbincang dengan John (Beasley) untuk saya bina kepantasan sebab menerusi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang bulan lalu, saya dapati ada kekurangan daripada segi kepantasan kaki.
"John juga banyak menerapkan latihan untuk saya mengejar motorsikal dan setakat ini tiada masalah," kata pelumba berumur 25 tahun itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Shah Firdaus bakal membawa cabaran negara untuk beraksi dalam acara 100 meter (m) ujian masa, keirin, pecut dan pecut berpasukan.
Dalam penampilan kedua temasya itu juga, dia akan bertindak sebagai pembimbing kepada adiknya, Ridwan.
"Saya banyak kena beri panduan kepadanya, dia pun masih baru.
"Dalam ACC yang lalu dia mengakui masih lagi gemuruh. Saya juga pernah dalam situasi macam dia," katanya lagi.
#Sukan Komanwel Birmingham #Shah Firdaus Sahrom #Pelumba berbasikal trek #Lee Valley VeloPark London
;