Sukan Komanwel Birmingham: Nur Dhabitah impi akhiri musim dengan nota gemilang
Astro Arena
Julai 14, 2022 09:50 MYT
Julai 14, 2022 09:50 MYT
DI sebalik penggalaman luas dalam Sukan Komanwel, penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang dicanang untuk mencapai aspirasi pingat emas enggan tekanan menguasai dirinya.
Dia kekal dengan pendirian peluang sama rata buat kesemua penerjun, sekali gus mengelak daripada kejatuhan prestasinya disebabkan tekanan.
Pemenang tiga pingat gangsa temasya itu ternyata melalui fasa terbaiknya ketika ini selepas gandingannya bersama Datuk Pandelela Rinong menuai gangsa Kejohanan Dunia.
Nur Dhabitah yang bakal melakukan penampilan keempatnya sedar harapan negara terletak terhadap gandingannya bersama Pandelela, namun fokusnya ketika ini terarah kepada pemantapan teknik terjunan serta keserasian menjelang Sukan Komanwel Birmingham dari 29 Julai ini.
"Meraih pingat adalah impian utama. Tanpa mengira keputusannya kelak, saya akan sentiasa berikan yang terbaik. Kalau boleh saya hendak sangat mendapatkan pingat dan membanggakan negara, semua atlet ada matlamat yang sama.
"Memang pencapaian saya agak rendah. Lagi-lagi orang mula beri perhatian kepada saya yang bergandingan dengan Pandelela. Sudah tentu saya mahu tunjukkan yang terbaik untuk saya dan dia.
"Saya mahu tamatkan musim ini dengan cemerlang sebab Sukan Komanwel merupakan temasya besar terakhir buat saya pada tahun ini selepas memenangi medal dalam Sukan SEA dan Kejohanan Dunia," katanya.
Nur Dhabitah mengakui perjalanan kariernya pada awal usia membantunya mempersiapkan diri meghadapi kejohanan utama dan beruntung menerima tempias positif daripada penajaan jenama peralatan sukan terkemuka yang memudahkannya untuk mencapai tahap yang terbaik.
"Teknologi ini dapat membantu saya menjalani latihan dengan betul. Ia telah membantu program latihan saya selain membantu saya mengitar semula tenaga," katanya lagi.