Sukan Komanwel 2022: Nur Dhabitah antara disebut pembawa Jalur Gemilang

Abd Razak Mohd Ali
Jun 28, 2022 17:31 MYT
Nur Dhabitah sebelum ini adalah pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang berlangsung pada 12 hingga 23 Mei lepas. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya membayangkan kemungkinan atlet terjun wanita, Nur Dhabitah Sabri dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang, susulan kecederaan dialami atlet skuasy negara, S. Sivasangari.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dijadualkan 15 Julai hadapan.
"Ada kemungkinan untuk Nur Dhabitah sebagai pengganti, tetapi perkara ini akan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah nanti.
"Sudah tentulah penggantinya atlet wanita kerana yang seorang lagi atlet lelaki sudahpun dipilih," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-25 Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, di sini, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat Lembaga Pengarah MOM yang dijadualkan 15 Julai hadapan mungkin akan dipercepatkan, khusus bagi membincangkan perkembangan terkini atlet negara.
"Kita dah setkan mesyuarat pada 15 Julai iaitu kira-kira seminggu sebelum kontinjen bertolak, tetapi dengan perkembangan terkini penarikan diri dan kemalangan yang berlaku, ianya akan dibuat lebih awal untuk kita bincangkan semula sasaran," katanya.
Sivasangari yang merupakan pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilaporkan mengalami kecederaan kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada Ahad.
Nur Dhabitah sebelum ini adalah pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang berlangsung pada 12 hingga 23 Mei lepas.
Dalam pada itu Shahrul Zaman berkata, sasaran tujuh pingat emas negara berubah sama sekali dengan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia dan S Sivasangari.
Katanya, sasaran sebelum ini adalah berdasarkan pungutan pingat diraih pada edisi di Gold Coast 2018.
"Kita perlu berpijak di bumi yang nyata dengan kehilangan prospek medal kerana tujuh emas yang kita tetapkan itu adalah berpandukan unjuran seperti diraih kontinjen negara pada edisi di Gold Coast 2018.
"Sebenarnya kita menaruh harapan kepada semua yang berjaya melayakkan diri ke Komanwel untuk menyumbangkan pingat, cumanya kita lihat dari segi ranking, sebab itulah kita buat unjuran berapa yang kita boleh dapat," ujarnya.
Pada temasya di Gold Coast 2018, Malaysia meraih tujuh emas menerusi sukan angkat berat, terjun, boling padang, gimnastik dan badminton di samping lima perak dan 12 gangsa.
#Sukan Komanwel #Nur Dhabitah Sabri #Jalur Gemilang #Shahrul Zaman Yahya
;