Sukan ekstrem terkesan akibat kejatuhan ringgit
Ian Johan Ariff
Ogos 12, 2015 18:50 MYT
Ogos 12, 2015 18:50 MYT
Industri sukan ekstrem antara yang terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit kerana kesemua barangan yang diimport dari Amerika Syarikat mahupun China menggunakan tukaran mata wang dolar.
Penggiat mahupun peniaga tidak ada pilihan lain kerana tiada barangan atau peralatan sukan itu dibuat syarikat tempatan.
Salah satu sebab ia tidak dibuat di negara ini kerana kayu yang digunakan untuk membuat papan selaju bertaraf dunia tidak ada di Malaysia.
Bagi pengusaha barangan sukan ekstrem, Saiful Azhar Othman, kesan yang paling ketara ialah terpaksa mengurangkan margin keuntungan.
"Saya sendiri peminat sukan ini jadi saya sendiri tak mahu beli barangan yang mahal. Dari segi kenaikan harga saya akan kurangkan keuntungan sikit dan kalau boleh nak kekal dengan harga yang lama. Walaupun kenaikan harga sepatutnya melambung sehingga 50% saya akan tanggung 10-15% dan bakinya pembeli terpaksa tanggung" kata Saiful yang memiliki kedai menjual peralatan sukan ekstrem profesional Embassy Pro Shop di Bukit Bintang dan Primary Bikes di Putrajaya.
Bagi meneruskan kelangsungan bisnesnya, Saiful terpaksa menghentikan sementara membuat pesanan dalam kuantiti yang banyak.
"Sebaik-baiknya kita buat pesanan yang banyak kerana kita tanggung kos penghantaran sedikit. Kos penghantaran lebih kurang sama jika membuat pesanan yang sikit. Jadi lebih baik kita membuat pesanan banyak namun kejatuhan ringgit berbanding dolar menghalang saya untuk membuat pesanan yang banyak," jelas Saiful.
Dalam keadaan sekarang, Saiful berharap kerajaan dapat mengurangkan cukai yang dikenakan terhadap barangan atau peralatan sukan ekstrem termasuk GST dan duti import.
Sebagai pengimport barangan sukan, Saiful berharap barangan dan peralatan yang dibawa dapat dikategorikan sebagai GST berkadar sifar kerana barangan yang dijual adalah barangan sukan bukan barangan yang merosakkan seperti rokok.
Jika ringgit tidak pulih, Saiful menjangkakan jumlah pendatang baru dalam sukan ini akan berkurangan selain jualan barangan sukan ekstrem dijangka terus menurun.
Setakat ini, harga sekeping papan selaju naik sebanyak RM15-RM20 sementara basikal BMX meningkat sehingga 20% di pasaran akibat tukaran wang dan cukai yang dikenakan dalam dolar.
Saksikan aksi Saiful dalam episod kedua musim pertama Adrenalin dibawah: