Sukan ekstrem kanu tarik minat anak muda

Bernama
Disember 11, 2015 07:31 MYT
Ramai anak muda yang berminat untuk menyertai sukan ekstrem ini tetapi tidak mengetahui ke mana harus dituju. - Foto Bernama
Sambutan golongan remaja terhadap aktiviti sukan kanu di negara ini semakin meningkat biarpun sukan lasak itu tidak begitu menonjol berbanding sukan lain.
Presiden Persatuan Sukan Kanu Kuala Lumpur Raja Shahrul Azremel berkata ramai anak muda yang berminat untuk menyertai sukan ekstrem ini tetapi tidak mengetahui ke mana harus dituju.
"Setiap kali kami adakan kelas kanu di sini (Tasik Titiwangsa), ramai anak muda menunjukkan minat yang tinggi untuk turut serta dan kami bersedia untuk membimbing mereka.
"Sekiranya bakat ini dapat digilap, mereka berpotensi untuk menjadi atlet sukan kanu profesional negara mahupun di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Kanu Jemputan Kuala Lumpur 2015 di sini pada Jumaat.
Kejohanan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tersebut dirasmikan Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk P. Gunaseelan.
Sebanyak enam negara menyertai kejohanan sukan ekstrem air itu -- Thailand, Singapura, China, Taiwan, Indonesia dan Malaysia.
Raja Shahrul berkata dua kategori dipertandingkan dalam kejohanan ini iaitu polo kanu dan 'flat water slalom'.
Beliau berkata bagi kategori flat water slalom, setiap peserta perlu membuat pusingan di setiap tiang atau rintangan yang sememangnya memerlukan kepakaran mendayung yang tinggi dan kemahiran asas yang mantap.
"Peserta bagi kategori slalom akan dinilai berdasarkan masa dan kepantasan.
"Bagi polo kanu, kemahiran mengawal bola dan mendayung kanu pada masa yang sama memerlukan fokus tinggi dan ia akan dinilai berdasarkan hasil jumlah jaringan.
Katanya rata-rata peserta yang terlibat terdiri daripada peserta separa profesional dan profesional.
Kejohanan yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, di sini berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini.
#ekstrem #golongan muda #kanu #sukan
;