Sukan Asia: Skuad paling cemerlang, bawa pulang tiga pingat emas - SRAM
Bernama
Oktober 6, 2023 06:15 MYT
Oktober 6, 2023 06:15 MYT
SEPANG: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menyifatkan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad negara merupakan pencapaian paling cemerlang dalam kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila berjaya meraih tiga emas, satu perak dan satu gangsa.
Pengurus pasukan, Mohd Nafzahizam Adnan, berkata prestasi itu hampir mengulangi pencapaian pasukan skuasy negara pada temasya edisi 2010 di di Guangzhou, China.
Nafzahizam, yang juga setiausaha kehormat SRAM, berkata paling membanggakan apabila pasukan skuasy kali ini dibarisi oleh pemain-pemain muda yang sudah pasti akan terus menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Asia akan datang.
"Sejak skuasy diperkenalkan pada 1998 dalam Sukan Asia, penampilan ini antara yang terbaik. Di Guangzhou 2010, kita memperoleh tiga emas, satu perak dan dua gangsa, ketika ini tiada beregu campuran.
"Secara keseluruhan kami sangat berpuas hati dengan persembahan mereka," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Hangzhou, China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat.
Pasukan skuasy menuai tiga pingat emas daripada acara berpasukan wanita, perseorangan wanita menerusi S. Sivasangari dan perseorangan lelaki Ng Eain Yow makala pingat perak pula menerusi beregu campuran Aifa Azman-Mohammad Syafiq Kamal dan gangsa daripada berpasukan lelaki.
Dalam pada itu, Nafzahizam berkata barisan pemain yang beraksi di Sukan Asia Hangzhou kali ini, rata-rata merupakan pemain yang telah dipersiapkan sejak Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.
Katanya mereka juga antara atlet yang dilatih di bawah prorgram pembangunan bakat muda antara kerjasama SRAM dan Yayasan CIMB.
"Melihat prestasi ini, kita akan teruskan program pembangunan ini dan mungkin akan diperhebatkan lagi," katanya.
-- BERNAMA