Sukan Asia: Skuad boling sumbang pingat emas pertama negara

Ian Johan Ariff
Ogos 22, 2018 18:00 MYT
Trio negara tersebut mengumpul 4,326 jatuhan pin, mengatasi cabaran pasukan Chinese Taipei (4,255) yang mendapat perak dan Singapura (4,250) untuk gangsa. - Foto Astro Arena
PASUKAN Malaysia berjaya merangkul emas pertama negara di Sukan Asia 2018 menerusi acara boling trio wanita yang disumbangkan Cheah Mei Lan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi di Pusat Boling Jakabaring di sini hari ini.
Trio negara tersebut menamatkan kemarau emas 24 tahun dalam acara itu selepas mengumpul 4,326 jatuhan pin, mengatasi cabaran pasukan Chinese Taipei (4,255) yang mendapat perak dan Singapura (4,250) untuk gangsa.
Satu lagi trio wanita negara, Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan & Shalin Zulkifli menduduki tempat keempat dengan 4,144 jatuhan pin.
Terdahulu pada blok pertama yang berlangsung pagi tadi, trio Easter, Siti Safiyah Amirah dan Syaidatul Afifah menduduki tempat pertama dengan 2,184 mata, diikuti trio Sin Li, Natasha dan Shalin di tempat kedua dengan 2,151 mata.
Kali terakhir Malaysia mengungguli acara trio wanita adalah pada edisi 1994 di Hiroshima,Jepun, manakala pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan 2006 di Doha, Qatar, negara meraih pingat perak.
#boling #Indonesia #Jakarta #Malaysia #Palembang #pingat emas #sukan #Sukan Asia
;