SUKAN ASIA: Skuad badminton wanita negara gagal ke separuh akhir

Astro Arena
September 21, 2014 10:01 MYT
Tee Jing Yi membuka gelanggang acara berpasukan dengan langkah kiri apabila tewas mudah kepada pemain nombor satu dunia, Li Xuerui. - Foto Bernama
Skuad badminton wanita negara seperti diduga tewas 0-3 di tangan China pada aksi suku akhir acara berpasukan di Sukan Asia Incheon.
Pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi membuka gelanggang acara berpasukan dengan langkah kiri apabila tewas mudah kepada pemain nombor satu dunia, Li Xuerui, 9-21, 8-21 dalam masa 29 minit.
Kekalahan itu bagaimanapun gagal menyuntik semangat pasangan beregu, Vivian Hoo Kah Mun dan Ng Hui Lin yang turut kecundang di tangan pasangan China, Zhao Yunlei dan Tian Qing, 18-21, 8-21.
Dua kekalahan berturut-turut menyaksikan tugas sukar menanti yang Li Lian yang turun selaku pemain perseorangan kedua negara.
Li Lian tewas di tangan pemain nombor dua dunia, Wang Shixian namun dengan cara bermaruah.
Pemain berusia 21 tahun ini menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga memaksa jaguh China itu bekerja keras.
Bagaimanapun, pengalaman menjadi pemisah sebelum Li Lian tewas 15-21, 20-22 di Gimnasium Gyeyang, Incheon.
#Li Lian #Ng Hui Lin #Skuad badminton wanita #Sukan Asia Incheon #Tee Jing Yi #Vivian Hoo Kah Mun
;