Sukan Asia: Shah Firdaus gagal pujuk Azizulhasni

Bernama
September 22, 2023 05:00 MYT
Azizulhasni mengumumkan dia terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou selepas mengalami kecederaan pinggul susulan kemalangan berkelajuan tinggi yang dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, minggu lalu. --fotoBERNAMA
SEPANG: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mendedahkan cuba memujuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk terus beraksi pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di sebalik kecederaan dialami baru-baru ini.
Shah Firdaus berkata beliau telah cuba sedaya upaya meniup semangat kepada Azizulhasni namun usahanya menemui jalan buntu selepas pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik 2020 itu merasakan dirinya tidak boleh bersaing dengan intensiti tinggi di Hangzhou.
"Saya berharap dia cepat pulih. Beberapa hari selepas kemalangan, kami turun berlatih. Walaupun dia boleh kayuh seperti biasa namun dia tak berdaya memberi tekanan. Saya memang cuba pujuk tetapi dia kata tak boleh sebab sakit.
"Saya sangat sedih dan terkilan sebab kami dah ada perancangan berlumba bersama di Hangzhou. Bagaimanapun, Azizulhasni sedih memandangkan edisi di Hangzhou sepatutnya menjadi Sukan Asia terakhir baginya namun saya akhirnya faham kesihatan beliau lagi penting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Hangzhou, semalam.
Sebelum ini, Azizulhasni, 35, mengumumkan dia terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou selepas mengalami kecederaan pinggul susulan kemalangan berkelajuan tinggi yang dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, minggu lalu.
Tempat beliau dalam acara keirin di Hangzhou akan diambil alih oleh Fadhil Zonis yang akan beraksi bersama Shah Firdaus dalam acara itu.
Shah Firdaus,pemenang gangsa acara keirin Sukan Komanwel 2022, mengakui segala perancangannya untuk beraksi bersama Azizulhasni atau lebih dikenali 'The Pocket Rocketman' dalam acara tersebut terjejas susulan ketiadaan bekas juara dunia tersebut.
Menyedari tanggungjawab berat kini terletak di bahunya, beliau sebaliknya bersedia untuk menyahut cabaran Azizulhasni yang mahu melihatnya menyinar pada temasya sukan empat tahun sekali tersebut.
Katanya, tekanan sememangnya wujud namun situasi berkenaan sukar dielakkan tidak kira berlumba bersama Azizulhasni atau tanpa bekas juara dunia tersebut dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan disertai.
Sehubungan itu, pelumba kelahiran Johor itu berharap agar dirinya mampu mara ke final keirin bersama Fadhil Zonis.
"Kesemua pelumba ada peluang sama rata namun ia bergantung kepada siapa yang bijak guna strategi yang tepat pada waktunya (menang emas).
"Semua mahukan emas, tiada siapa datang bertanding untuk dapat nombor dua atau tiga. Jika masuk final baru boleh fikir untuk menang emas," katanya.
Sukan Asia Hangzhou 2022, yang ditangguh penganjurannya setahun susulan COVID-19, bakal membuka tirai secara rasmi esok dan berakhir 8 Okt ini.
-- BERNAMA
#Shah Firdaus #Azizulhasni Awang #Sukan Asia Hangzhou 2022 #pelumba basikal
;