Sukan Asia: Sasaran pingat secara keseluruhan menghairankan - Penganalisis sukan

Bernama
September 12, 2023 04:15 MYT
Pada Sukan Asia kali ini, Malaysia akan diwakili 289 atlet yang beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan atau 121 daripada 481 acara yang dipertandingkan. - Gambar fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Menghairankan dan membimbangkan.
Itu rumusan jujur penganalisis sukan, Datuk Pekan Ramli berhubung langkah selamat diambil kontinjen Malaysia dengan tidak mengumumkan sasaran Sukan Asia Hangzhou 2022 secara spesifik mengikut warna pingat bagi mengelakkan tekanan kepada atlet.
Katanya, keputusan kontinjen negara tidak mengumumkan sasaran emas seperti menjadi kelaziman sebelum ini memberi petanda bahawa mereka seolah-olah bimbang dengan kegagalan yang mungkin berlaku pada temasya di China bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.
"Bagi saya, kita tak perlu takut dan usah risau sasarkan emas sebab ia satu tanggungjawab dan bukan tekanan (kepada atlet).
"Kenapa mahu sembunyikan (sasaran emas). Tiada istilah gagal dalam sukan kerana paling penting mereka harus terima kegagalan dengan pemikiran terbuka," katanya kepada Bernama.
Pada Isnin, Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt berkata, pendekatan baharu diambil dengan hanya mengumumkan sasaran sejumlah 27 pingat menerusi 13 jenis sukan tanpa menamakan sasaran emas di Hangzhou.
Kim Fatt berkata, terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wusyu dan e-sukan sebagai sukan yang diletakkan sandaran pingat kali ini.
Dalam pada itu, Pekan berkata, alasan bagi mengelakkan tekanan kepada atlet tidak boleh diguna pakai kerana kecemerlangan mereka juga antara lain berpunca daripada kejayaan menangani cabaran tersebut.
"Hanya atlet hebat dapat menangani tekanan. Jika benar tekanan rosakkan atau bebankan atlet lebih baik mereka tukar bidang," katanya.
Pekan juga menyifatkan langkah Malaysia mengambil contoh acuan kuasa besar dunia seperti Jepun dan Australia yang tidak mengumumkan pingat secara spesifik agak pelik, kerana tahap prestasi atlet negara sememangnya jauh jika dibandingkan dengan mereka.
Beliau pada masa sama membangkitkan persoalan adakah kesemua pemenang pingat di Sukan Asia nanti bakal menikmati nilai setara bagi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) memandangkan kejayaan di Hangzhou diukur berdasarkan jumlah pingat secara keseluruhan.
Mengikut kadar SHAKAM sedia ada, pemenang pingat emas di Sukan Asia akan mendapat RM80,000 manakala RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa).
Sementara itu, bekas CDM Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan, Tan Sri Mohd Khalid Yunus turut tidak bersetuju dengan alasan pengumuman pingat secara keseluruhan dilakukan bagi mengelakkan tekanan kepada atlet kerana ia sudah sebati dalam kehidupan mereka.
"Semua atlet bertanding ada tekanan tersendiri cuma perbezaaannya sama ada mereka ada kemahuan untuk menang dan mengelakkan kesilapan kerana itu akan tentukan mereka menang atau kalah," katanya.
Biarpun kontinjen Malaysia mempunyai hak menentukan jenis sasaran yang mahu diumumkan, Mohd Khalid berkata, pada akhirnya kesemuanya bergantung pada daya juang serta semangat tinggi atlet dalam mengharumkan nama negara di Sukan Asia.
Bekas Dekan Fakulti Sains dan Sukan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Mohad Anizu Mohd Nor pula khuatir sasaran diumumkan mengakibatkan atlet khususnya mereka yang berpotensi menyumbang emas, tidak mengambil serius dan berpuas hati dengan kejayaan membawa pulang perak atau gangsa daripada Hangzhou.
Pada Sukan Asia kali ini, Malaysia akan diwakili 289 atlet yang beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan atau 121 daripada 481 acara yang dipertandingkan. - BERNAMA
#Sukan Asia #Malaysia #sasaran pingat #penganalisis sukan
;