Sukan Asia: Prannoy sekat Zii Jia ke separuh akhir
Bernama
Oktober 5, 2023 17:46 MYT
Oktober 5, 2023 17:46 MYT
HANGZHOU: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, gagal dalam misi memburu pingat pertama dalam temasya Sukan Asia selepas tersingkir di pusingan suku akhir, di sini, hari ini.
Selepas mengejutkan juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, semalam, hasrat Zii Jia, pemain nombor 16 dunia, melangkah ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas di tangan pemain India, HS Prannoy 16-21, 23-21, 20-22 di Gimnasium Binjiang.
Dalam perlawanan separuh akhir, Prannoy akan bertemu pemenang antara pemain pilihan China, Li Shi Feng dengan pilihan utama, Anthony Sinisuka dari Indonesia.
Zii Jia, 25, layak ke suku akhir selepas menewaskan Kunlavut, 10-21, 21-19, 21-6 manakala Prannoy pula mengalahkan pemain Kazakhstan, Dmitriy Panarin, 21-12, 21-13 di pusingan ketiga.
Pada edisi 2018 Jakarta-Palembang, Zii Jia, 25 tersingkir di pusingan ketiga.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Zii Jia, berkata beliau amat bimbang dengan keputusan dan prestasinya sejak kebelakangan ini dan berharap untuk berbangkit semula dalam usaha memburu slot Sukan Olimpik Paris 2024.
"Bagi diri saya, untuk peminat Malaysia bukan saya tak nak keputusan tetapi kadang-kadang ini adalah proses yang perlu diterima. Tak tahu berapa lama keadaan macam ini. Saya perlu belajar dari setiap kejohanan.
"JIka peminat sedih, saya lebih sedih kerana saya yang bermain di gelanggang dan sudah memberikan yang terbaik pada perlawanan ini.
"Saya bukan budak yang tak ada disiplin, ponteng latihan tetapi berlatih bersungguh-sungguh dan memberi 100 peratus dan keputusan menunjukkan sebaliknya.
"Saya mengakui bahawa saya ini masih jauh untuk mencapai apa yang dimahukannya iaitu menjadi pemain yang lebih matang dan stabil," kata Zii Jia yang akan beraksi di Terbuka Artik di Vantaa, Finland dari 10 hingga 15 Okt ini.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas di suku akhir selepas tewas 14-21, 21-23 kepada gandingan nombor satu dunia, dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.
Wakil China, selaku juara bertahan Sukan Asia dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan mementang juara dunia dari Korea Selatan, Sea Seung Jae-Chae Yu Jung di separuh akhir.
-- BERNAMA