Sukan Asia: Persiapan berbeza dilalui Nicol sempena 2018

Astro Arena
Ogos 4, 2018 18:39 MYT
NICOL: Tahun 2018 adalah untuk mendapatkan kesegaran dan kembali dahagakan aksi.
DATUK NICOL DAVID memegang rekod atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Asia setelah menyumbang enam pingat emas.
Jaguh skuasy itu berusia 35 tahun itu bertekad mengetepikan keraguan terhadap kemampuannya dengan percaturan yang berbeza menjelang temasya Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September ini.
Dengan mencatat sejarah muncul juara dunia sebanyak lapan kali dan mendominasi takhta nombor satu dunia lebih daripada sembilan tahun, kini Nicol melalui perjuangan berliku untuk mencabar pemain muda yang lengkap daripada segi fizikal dan skil.
"Saya telah banyak belajar dan lebih matang.
"Kini, saya lebih memahami makna sebenar menjadi pemain nombor satu dan juara dunia. Untuk mencapai ke tahap itu, saya harus terus berjuang dan memberikan segala-galanya.
"Apabila kehilangan takhta itu, situasi itu menghentam teruk fikiran dan fizikal saya. Saya telah mendesak tahap fizikal ke tahap tertinggi.
"Sehubungan itu, saya memerlukan ruang untuk diri sendiri buat seketika dan ia satu keputusan terbaik pernah dibuat.
"Selepas bergelut beberapa tahun, ia satu pengalaman terbaik buat saya.
"Untuk itu, tekad saya pada 2018 adalah untuk mendapatkan kesegaran, kembali dahagakan aksi serta bersedia untuk berdepan cabaran," ujar atlet kelahiran Pulau Pinang itu.
Nicol jatuh cinta kepada sukan skuasy sejak berusia tujuh tahun dan ketika kariernya sebagai pemain semakin menghampiri penghujungnya, dia memasang impian untuk terus mengharumkan nama Malaysia.
"Tahun depan, saya akan memberikan yang terbaik dan akan melihat tahap permainan saya dari situ.
"Bagi perancangan jangka panjang pula, saya ingin membuka akademi skuasy di tanah air dan menyumbangkan kepada Malaysia demi melahirkan generasi atlet seterusnya," ujarnya lagi.
#Indonesia #Jakarta #Nicol David #Palembang #pemain skuasy negara #Skuasy #Sukan Asia
;