Sukan Asia: Pengorbanan Arif tambah kilauan emas bagi Malaysia

Bernama
Oktober 7, 2023 07:40 MYT
Muhammad Arif meraikan kejayaan bersama jurulatihnya, Tamer Abdelraouf Mourssy (kanan) selepas menang perlawanan menentang atlet dari Kazakhstan pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
HANGZHOU: Pengorbanan atlet karate kebangsaan, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik, yang menahan kesakitan akibat kecederaan lama dan baharu berjaya membutirkan satu lagi pingat emas berharga buat kontinjen Malaysia pada hari ke-14 Sukan Asia Hangzhou 2022, di sini.
Atlet berusia 23 tahun itu, yang mengalami kecederaan di bahagian belakang dan rusuk sejak sebulan lepas berjaya menundukkan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan 10-4 pada final acara Kumite (tempur) bawah 84 kilogram (kg).
Beliau juga mengharungi cabaran getir sebelum mengesahkan pingat emas itu apabila lawannya menumbuk kuat mata kanan Arif Afifuddin ketika cuba membuat serangan balas dengan baki 15 saat sebelum pertarungan tamat.
Terdahulu, kuasa besar sepak takraw dunia, Thailand meranapkan impian skuad negara mempertahankan pingat emas acara antara regu lelaki selepas tewas 0-2 pada final di Gimnasium Pusat Sukan Gimnasium Jinhua.
Atlet gimrama Ng Joe Ee, 17, turut berjaya memperagakan aksi yang baik walaupun terpaksa menahan sakit belakang dan buku lali kiri untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-11 pada pusingan akhir acara individu all-around wanita.
Skuad hoki wanita pula sekadar mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Thailand untuk menduduki tempat kelima sekali gus mengesahkan slot ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung di Changzhou, China dan Valencia, Sepanyol, Januari depan.
Keputusan hari ini menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-14 dalam senarai kedudukan pingat selepas meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa atau sejumlah 32 pingat berbanding sasaran 27 pingat.
Tuan rumah China pula, meletakkan penanda aras baharu selepas berjaya menggondol 200 pingat emas, atau hampir 42 peratus daripada keseluruhan emas yang ditawarkan, selain turut meraih 111 perak dan 71 gangsa.
Pada edisi lepas di Jakarta-Palembang, Indonesia,p[ada 2018, kontinjen Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-14 selepas meraih 7-13-16 atau secara keseluruhan 36 pingat manakala pencapaian terbaik adalah apabila merangkul 9-18-14 atau keseluruhan 41 pingat untuk menduduki tempat ke-10 pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Malaysia berpeluang untuk menambah kilauan pingat pada hari terakhir esok apabila atlet karate wanita negara, C. Shahmalarani beraksi dalam acara Kumite bawah 50kg yang juga merupakan satu-satunya atlet negara yang beraksi sebelum Sukan Asia melabuhkan tirai secara rasminya, malam esok.
-- BERNAMA
#Sukan Asia #Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik #menahan kesakitan #kecederaan
;