Sukan Asia: Peluang terbaik skuad taekwondo negara

Astro Arena
Julai 21, 2018 08:09 MYT
Mampukah taekwondo memulihkan reputasi mereka di pentas Asia, sekali gus mencerahkan kembali peluang untuk diserap kembali sebagai sukan teras Malaysia? - StadiumAstro
BUAT julung kalinya, taekwondo akan mempertandingkan acara poomsae dalam Sukan Asia Indonesia, bulan depan.
Malaysia dilihat mempunyai peluang terbaik untuk menghadirkan pingat, khususnya dalam acara ini, selepas kemarau pingat selama 16 tahun.
Mampukah taekwondo memulihkan reputasi mereka di pentas Asia, sekali gus mencerahkan kembali peluang untuk diserap kembali sebagai sukan teras Malaysia?
Taekwondo mula dipertandingkan dalam Sukan Asia pada 1986 di Seoul, Korea Selatan.
Sejak ia mula dipertandingkan, Malaysia tidak menghadapi masalah untuk meraih pingat sehinggalah edisi 2002 di Busan apabila Malaysia terus kempunan dan kemarau sehingga hari ini.
BACA: KBS akan teliti semula pengguguran taekwondo sebagai sukan teras
Namun, senario itu bakal berubah apabila acara poomsae, suatu acara yang memfokuskan kepada seni taekwondo, akan dipertandingkan buat julung kali dalam Sukan Asia Indonesia.
Malaysia dalam momentum terbaik apabila meraih perak dalam Kejohanan Taekwondo Asia, begitu juga emas ketika Terbuka Amerika Syarikat dalam acara ini.
Sandaran Malaysia sudah pasti tertumpu kepada Yap Khim Wen dan Chew Wei Yan.
"Kami telah menjalani latihan intensif sebagai persiapan untuk ke Sukan Asia. Kejayaan kami dalam kejohanan sebelum ini membuktikan kebolehan kami," kata Wei Yan.
"Banyak kejohanan yang telah kami sertai sebelum ini sebagai aksi pemanas badan untuk beraksi di Indonesia," kata Khim Wen.
Selain itu, bagi acara kyorugi, Malaysia membariskan lima atlet dengan tumpuan kepada pemenang pingat emas, Rozaimi Rozali.
Biarpun kesemua atlet ini tidak pernah membuat penampilan di pentas Sukan Asia, ia tidak dilihat sebagai satu kelemahan kerana mereka sudah pun dipersiapkan dengan baik apabila mengadakan kem latihan pusat di Korea Selatan.
Dua pingat gangsa menjadi sandaran skuad taekwondo negara dan ia diharap mampu memulihkan kembali reputasi sukan yang sering dilanda kontroversi ini.
"Kejohanan terbesar saya sebelum ini adalah Sukan SEA. Tampil beraksi dalam Sukan Asia, menampilkan lebih ramai atlet-atlet berkualiti memberikan motivasi kepada saya untuk menampilkan persembahan terbaik," kata atlet taekwondo negara, Nurul Farah Alisa.
"Saya terlepas saingan Sukan SEA tahun lalu, jadi ini merupakan peluang saya menampilkan kebolehan saya buat negara," kata atlet taekwondo negara, Nur Putra Daniel Azlan.
#Asia #Malaysia #poomsae #Sukan Asia #Sukan Asia Indonesia #taekwondo
;