Sukan Asia: Mazlan bidas sasaran di Indonesia

Astro Arena
Ogos 8, 2018 17:00 MYT
MAZLAN: Sasaran pingat Sukan Asia 2018 bukan satu sasaran yang relevan.
“INI tabiat orang kita.”
Itu reaksi bersahaja daripada bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad, sebagai merumuskan rasa tidak bersetujunya selepas sasaran Sukan Asia 2018 sekadar untuk melepasi pencapaian di Incheon, empat tahun lalu.
Beliau menganggap ia bukan satu sasaran yang relevan.
Mazlan turut menyuarakan rasa hairannya mengapa pencapaian paling hampir di Incheon empat tahun lalu menjadi penanda aras sedangkan itu bukan pencapaian terbaik kontinjen negara setakat ini.
Menerusi pelaburan terbesar untuk persediaan atlet negara, sasaran negara perlu melepasi 10 pingat emas dalam Sukan Asia atau menyamai pencapaian terbaik negara di Guangzhou pada 2010, iaitu sembilan emas.
"Tabiat meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan lebih baik berbanding edisi sukan terdahulu sepatutnya tidak menjadi satu amalan. Kontinjen negara harus diajar untuk mencapai lebih baik berbanding yang terbaik," katanya.
Mazlan menegaskan Malaysia masih terus berharap kepada sukan subjektif seperti wushu, karate dan silat yang kali pertama diperkenalkan sebagai sumber pingat emas di Indonesia nanti.
Hakikatnya, sukan di Malaysia melewati perkembangan yang memberangsangkan tetapi negara lain lebih pesat berkembang bertaraf Olimpik mengatasi pencapaian kem kebangsaan.
"Kita tidak dapat lari daripada keadaan ini dan sehingga kita benar-benar mantap dalam acara-acara Olimpik, kita terpaksa bergantung kepada sukan-sukan berkenaan.
"Malangnya, atlet kita dalam sukan-sukan Olimpik agak cemerlang tetapi terpaksa berdepan wakil negara lain yang lebih baik," katanya lagi.
#Incheon #Mazlan Ahmad #MSN #Sukan Asia
;