Sukan Asia: Malaysia rangkul perak kata berpasukan wanita
Bernama
Oktober 6, 2023 20:00 MYT
Oktober 6, 2023 20:00 MYT
HANGZHOU: Skuad kata wanita negara melakar pencapaian membanggakan apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara berpasukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Pusat Sukan Linping, di sini, hari ini.
Pada aksi penentuan pingat emas, trio negara Lovelly Anne Robberth, Niathalia Sherawinnie Anak Yampil dan Naccy Nelly Evvaferra Rojin yang menerima sorakan dan tepukan penyokong tempatan berjaya mengumpul keseluruhan 39.00 mata.
Pungutan mata itu, bagaimanapun, tidak cukup untuk menyaingi pemenang emas dari Vietnam, Nguyen Thi Phuong, Nguyen Ngoc Tram dan Luu Thi Thu Uyen yang juga pemenang perak Kejohanan Karate Asia 2023 di Melaka, Julai lalu selepas meraih 42.70 mata.
Trio Vietnam itu juga merupakan pemenang emas di Sukan SEA di Kemboja, Mei lepas.
Meskipun tidak berjaya menyumbang emas, Lovelly Anne berkata beliau gembira kerana dapat menambah koleksi pingat selepas turut membawa pulang perak dalam acara kata individu wanita, semalam.
Atlet berusia 19 tahun dari Penampang, Sabah itu, berkata kejayaan yang diraih telah membuktikan bahawa gandingan itu mampu pergi lebih jauh memandangkan mereka hanya berlatih kira-kira setahun sebelum beraksi di sini.
Sementara itu, Naccy Nelly menyifatkan persembahan ditampilkan sebagai aksi yang terbaik sejak mereka digandingkan bersama.
"Kami tampilkan aksi dan teknik yang kami berlatih selama ini, memang sama macam dalam sesi latihan dan persembahan hari ini sangat jauh beza daripada sebelum ini sebab kami nak buat persembahan yang lain dari yang lain, jadi tadi persembahan kami ada sikit kelainan daripada Vietnam.
"Walaupun jurang mata boleh tahan jauh tetapi kami sikit tidak rasa kecewa sebab ini kali pertama kami bertemu dengan mereka, yang penting kami sudah berikan segalanya," kata atlet 19 tahun itu.
Pingat gangsa acara itu dimenangi bersama Brunei dan Kemboja selepas masing-masing terkandas di pusingan awal.
Untuk rekod, acara kata berpasukan wanita julung kali dipertandingkan di Sukan Asia pada edisi kali ini.
-- BERNAMA