Sukan Asia: Kontinjen Malaysia baru mula panas - Azim
Bernama
Ogos 25, 2018 05:00 MYT
Ogos 25, 2018 05:00 MYT
Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yakin Malaysia mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas kerana acara-acara berpotensi menyumbang pingat baharu bermula.
Beliau berkata tuaian pingat negara akan dijangka hadir menerusi sukan-sukan seperti berbasikal trek, pelayaran dan karate, dan juga skuasy apabila kedua-dua wakil negara, Datuk Nicol David dan S. Sivasangari mara ke final acara perseorangan wanita.
"Ini baru masuk sukan-sukan yang ada potensi pingat emas untuk kita. Kita punya atlet-atlet Kategori A dan Program Podium baru memulakan perjuangan mereka, kita yakin mereka akan dapat memberikan sumbangan kepada pungutan pingat.
Boling telah berjaya menyumbang sebutir emas dan dua perak dan kita masih harapkan satu lagi pingat menerusi acara Masters wanita esok (Ahad). Sebelum ini memang ada sukan seperti bola baling dan kabaddi, yang berada dalam Kategori B, kita tidak harapkan pingat, tetapi jika dapat kira bonus," katanya.
Beliau ditemui media Malaysia ketika hadir menyaksikan acara boling berpasukan lelaki di Pusat Boling Jakabaring di sini.
Terdahulu, Nicol mara ke pusingan akhir selepas membenam K. Dipika Pallikal dari India 11-7, 11-9, 11-6 manakala Sivasangari, 19, mencipta satu lagi kejutan apabila mengatasi pemain nombor 16 dunia, Joshna Chinappa juga dari India 12-10, 11-6, 9-11 dan 11-7 di Jakarta.
Abdul Azim turut agak kecewa beberapa persatuan sukan yang sebelum ini menjanjikan pingat, tetapi gagal membawa pulang sebarang pingat seperti sukan menembak dan wushu.
Sementara itu, Timbalan CDM (Palembang), Datuk Dr SS Cheema yakin kontinjen negara di kluster Palembang mampu menghadiahkan sekurang-kurangnya dua kilauan pingat menerusi acara Masters wanita (boling) dan acara antara regu sepak takraw.
"Buat masa ini kita gembira dengan apa yang dicapai di sini dan ada harapan lagi. Acara Masters wanita ada peluang kerana pemain kita menduduki tempat pertama (Syaidatul Afifah Badrul Hamidi) dan keempat (Natasha Roslan) secara keseluruhan buat masa ini.
Saya gembira Jakarta pun sudah mula melihat kilauan pingat sekarang...ia merupakan motivasi yang besar kepada kontinjen kita," katanya.
Setakat pukul 6.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) pada hari ketujuh, Malaysia telah meraih sebutir pingat emas, empat perak dan satu gangsa.
-- BERNAMA
#Abdul Azim Mohd Zabidi
#atlet
#CDM
#Jakarta-Palembang
#Ketua Kontinjen Negara
#sukan
#Sukan Asia 2018