Sukan Asia: Kita perlu realistik sasaran emas - Azim

Astro Arena
Ogos 4, 2018 15:26 MYT
ABDUL AZIM: Sasaran pungutan pingat akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menuntut pandangan yang realistik menjelang temasya itu dari 18 Ogos hingga 2 September ini.
Malaysia menduduki tangga ke-10 dalam temasya Guangzhou 2010 (sembilan pingat emas) sementara di Incheon empat tahun lalu, kontinjen negara mengakhiri kempen di kedudukan ke-14 dengan lima emas.
Bagi pemerhati sukan, Malaysia perlu memungut lebih 10 pingat emas berdasarkan pungutan pingat edisi lalu sekiranya ingin mencapai kelompok 10 terbaik di Jakarta-Palembang 2018.
Begitupun, sehingga kini, Malaysia masih belum mengumumkan sasaran tersebut di sebalik Program Program yang diwujudkan bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi.
Tegas Abdul Azim, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Ini pandangan pemerhati sukan dan kita menghormati pandangan mereka. Saya telah berjumpa kesemua 36 persatuan sukan yang akan terbabit dalam Sukan Asia untuk mendapatkan maklumat prestasi dan kecergasan atlet selain sasaran yang mereka tetapkan sendiri.
"Saya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sama ada sasaran ini realistik atau tidak sebelum dibentangkan kepada Syed Saddiq.
"Mengenai kemampuan mengatasi pencapaian di Guangzhou atau Incheon, Sukan Asia 2018 memerlukan sasaran yang realistik," ujarnya sebentar tadi.
Biarpun menyenaraikan kontinjen terbesar negara dengan membariskan seramai 423 atlet, Abdul Azim menegaskan itu tidak bermakna penyertaan mereka semata-mata demi pemburuan pingat.
"Atlet kategori A hanya 182 orang manakala untuk kategori B pula adalah 241.
"Atlet kategori B ini diberi peluang untuk mendapat pendedahan dan sasaran pingat hanya dipertaruhkan menerusi atlet kategori A.
"Terdapat juga kategori yang baru diperkenalkan seperti jet ski, paragliding, papan luncur dan mendaki.
"Mereka merupakan atlet yang terkenal di rantau ini dan mereka mampu menyumbang kepada pungutan pingat," tambahnya.
Dalam masa sama, Abdul Azim menyifatkan Program Podium sebagai relevan dan masih menepati sasaran penubuhannya.
"Program Podium telah diberikan empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
"Yang pertama, mereka perlu melahirkan 10 atlet dalam kalangan enam terbaik dunia.
"Malaysia perlu muncul 10 negara terbaik dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Selain itu, memenangi emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Berdasarkan itu, Program Podium telah melahirkan 30 atlet dunia dan hasilnya adalah tiga kali ganda. Cuma dalam Sukan Komanwel, pencapaian Malaysia tergelincir sedikit -- kedudukan ke-11.
"Kita perlu melihat program ini secara keseluruhan," katanya lagi.
"Andai kata kita ingin memansuhkan Program Podium, maka kita mansuhkanlah MSN dan ISN juga dengan mewujudkan pentadbiran sukan yang baru dari sudut yang lebih positif," katanya.
#Abdul Azim Mohd Zabidi #atlet negara #CDM #Jakarta #kontinjen negara #Palembang #pingat emas #pungutan pingat #Sukan Asia
;