SUKAN ASIA: Kilauan perak ceriakan kontinjen negara

Bernama
September 21, 2014 07:19 MYT
Pelumba basikal Fatehah Mustapha meraih pingat Perak dalam acara Keirin. Pingat emas dimenangi pelumba Hong Kong Lee Wai Sze dan gangsa oleh pelumba China Tianshi Zhong (kanan). -- Foto Bernama
Kilauan perak sumbangan pelumba trek wanita negara Fatehah Mustapa telah menceriakan kem kontinjen negara pada hari kedua temasya Sukan Asia ke-17 di sini pada Ahad.
Pelumba berbasikal berusia 25 tahun itu menyifatkan pencapaian pingat perak dalam acara keirin individu sebagai bonus kerana tidak menduga sama sekali akan menghadiahkan pingat.
Pencapaian Fatehah itu menjadikan jumlah koleksi pingat kepada dua selepas emas dalam acara wushu wanita menerusi Tai Cheau Xuen dalam kategori gabungan Nanquan dan Nandao, semalam.
Bagaimanapun, acara wushu gagal menyerlah hari ini apabila Phoon Eyin sekadar menduduki tangga kelima acara Jianshu dan Qiangshu selepas mengutip 19.14 mata.
Turut tidak menghampakan adalah skuad badminton negara yang 'memanaskan badan' untuk menempah slot separuh akhir dengan menyingkirkan Nepal 3-0 dalam suku akhir acara berpasukan lelaki.
Bagaimanapun, esok, Malaysia bakal berdepan halangan Tembok Besar China yang turut disertai pemain handalan Lin Dan dan Chen Long dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Gyeyang.
Ratu skuasy negara Datuk Nicol David pula ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menang mudah ke atas pemain Jepun Misaki Kobayashi 11-7, 11-5, 11-7 pada perlawanan suku akhir di Yeorumul Squash Courts.
Diikuti seorang lagi wakil perseorangan wanita negara Low Wee Wern yang turut mara ke separuh akhir selepas menundukkan pemain Hong Kong Chan Ho Ling 11-6, 8-11, 11-6, 11-5.
Nicol akan berdepan Dipika Rebecca Pallikal dari India manakala Low akan bertemu Annie Au dari Hong Kong.
Dalam kategori lelaki, Ong Beng Hee akan menentang pemain India, Saurav Ghosal, pada saingan separuh akhir.
Bagaimanapun, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan terkandas di suku akhir selepas tumpas kepada pemain Kuwait, Abdullah Kh Kh H M Almezayen.
Sementara itu, skuad bola sepak negara bawah 23 tahun terpaksa melupakan misi memburu slot suku akhir apabila tewas 3-0 kepada Arab Saudi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A di Stadium Goyang.
Esok, kontinjen negara akan meneruskan misi memburu pingat apabila pelumba berbasikal trek Azizulhasni Awang dan Muhammad Edrus Mohd Yunus akan berentap dalam acara pecut.
Tiga pembidik handalan Nur Suryani Mohd Taibi, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Alia Shazana Azahari turun dalam acara 10m Air Rifle dan 25m Pistol.
Turut beraksi ialah Farah Ann Abdul Hadi dalam acara gimnastik artistik dan juga dua atlet lelaki wushu iaitu Ho Mun Hwa (Nanquan dan Nanguni) manakala Ng Shin Yii turun dalam dua acara iaitu Taijijan dan Taijiquan.
Turut mencuba nasib adalah pasukan renang dalam acara 4x200m gaya bebas dianggotai Kevin Yeap, Welson Sim Wee Sheng, Vernon Lee dan Alwyn Tan.
#basikal #Fatehah Mustapa #Incheon #Sukan Asia
;