Sukan Asia Hangzhou: Thailand halangan emas regu berpasukan lelaki negara

Bernama
September 27, 2023 18:58 MYT
Pertembungan antara Malaysia dan Thailand nanti ibarat ulangan final edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.- Foto FB Persatuan Sepaktakraw Malaysia
HANGZHOU: Pingat perak sudah berada dalam genggaman skuad sepak takraw lelaki negara selepas melangkah ke final regu berpasukan temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan menumpaskan Laos 2-0 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua di sini, hari ini.
Pada pertembungan separuh akhir itu, regu pertama dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam dan Muhammad Haziq Hairul Nizam ditentang sengit trio lawan sebelum mencatat kemenangan 21-17, 21-19 dalam perlawanan yang memakan masa 53 minit itu,
Momentum itu diteruskan trio Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang tidak berdepan masalah mencatat keputusan 21-14, 21-14 ketika menentang regu kedua Laos untuk menoktahkan kemenangan pasukan.
Bagaimanapun, jurulatih negara Ahmad Jais Baharun, menyifatkan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi final menentang juara bertahan Thailand, Jumaat ini.
"Untuk perlawanan hari ini secara peribadi saya rasa regu pertama perlu beraksi lebih garang, perlu lebih banyak variasai serangan menerusi tekong dan rejaman harus lebih padu. Dari segi pertahanan juga harus diperkemaskan," katanya selepas perlawanan.
Thailand mara ke final selepas mengatasi Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Kekalahan Korea Selatan dan Laos itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi gangsa.
Pertembungan antara Malaysia dan Thailand ibarat ulangan final edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia yang menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati membawa pulang perak.
-- BERNAMA
#Sukan Asia Guangzhou #sepak takraw lelaki #tumpaskan Laos #mara ke final #bertemu Thailand #pingat emas
;