Sukan Asia Hangzhou lancar 'pembawa obor digital'
Bernama
November 28, 2022 05:30 MYT
November 28, 2022 05:30 MYT
HANGZHOU: Penganjur Sukan Asia Hangzhou pada Ahad mengadakan majlis sambutan sempena kiraan detik 300 hari menjelang penganjuran sukan itu pada 2023.
Jawatankuasa penganjur turut melancarkan 'pembawa obor digital' Sukan Asia.
Ketua Pengarah Majlis Olimpik Asia (OCA), Husain Al-Musallam ketika menyampaikan ucapan menerusi pautan video turut mempelawa tetamu dari seluruh dunia untuk bersama-sama turut serta dalam aktiviti itu.
Menurut pihak penganjur, pembawa obor digital merujuk kepada identiti digital yang dimiliki individu dalam dunia Sukan Asia digital. Ia juga akan membolehkan serta menarik lebih ramai menyertai Sukan Asia.
Difahamkan, warganet dari seluruh dunia boleh menjadi pembawa obor digital Sukan Asia dengan menyertai aktiviti seperti 'Sayangi Sukan, Sayangi Kesejahteraan Awam dan Sayangi Hijau' melalui aplikasi rasmi Sukan Asia Hangzhou.
Selepas berdaftar menjadi pembawa obor digital, peserta akan memiliki hak digital yang mewakili identiti digital, termasuk imej digital, pakaian digital dan kostum digital obor Xinhuo.
Selain itu, lebih banyak aktiviti digital akan diadakan untuk memberikan pengalaman dalam talian yang lebih menyeluruh kepada peminat Sukan Asia.
Pada masa sama, pihak penganjur juga akan terus melancarkan siri aktiviti larian obor secara dalam talian.
Bagi warganet yang mengambil bahagian dalam aktiviti itu, masing-masing akan diberikan sijil blockchain dan peluang memenangi tiket majlis perasmian Sukan Asia Hangzhou.
Pihak penganjur berharap siri aktiviti pembawa obor digital Sukan Asia akan memberi pengalaman baharu Sukan Asia selain memperluas daya tarikan Zhejiang dan China dalam teknologi digital kepada seluruh dunia.
-- BERNAMA