Sukan Asia Hangzhou: Kriket wanita negara mara ke suku akhir selepas atasi Hong Kong
Bernama
September 19, 2023 23:10 MYT
September 19, 2023 23:10 MYT
HANGZHOU: Pasukan kriket wanita kebangsaan memulakan kempen Sukan Asia (Asiad) Hangzhou 2022 dengan langkah kanan apabila mengejutkan Hong Kong dengan 22 larian untuk mara ke suku akhir acara T20 antarabangsa, di sini, hari ini.
Pada aksi pembukaan Kumpulan B di gelanggang kriket ZJUT, Malaysia memulakan pukulan dengan melakukan 104 larian dalam 9 overs manakala Hong Kong merakamkan 82 larian dalam 10 overs.
Berdasarkan ranking T20 Asia oleh Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), Malaysia menghuni tempat kelapan berbanding Hong Kong di tempat ketujuh.
Terdahulu, dalam aksi Kumpulan A, Indonesia mara ke suku akhir selepas berjaya menewaskan Mongolia dengan 172 larian.
Hong Kong akan bertemu Mongolia esok untuk memburu tiket terakhir ke peringkat suku akhir.
Empat negara teratas ranking ICC T20 adalah India diikuti juara bertahan, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh telah dipilih terus ke peringkat lapan terakhir.
Sebaliknya, Thailand, yang layak ke lapan terakhir, kerana menjadi pasukan kelima terbaik dalam ranking ICC T20 akan disertai Malaysia, Indonesia dan pemenang antara Hong Kong dan Mongolia.
Undian suku akhir dijadual diadakan esok manakala perlawanan akan bermula pada Khamis dan Jumaat ini.
-- BERNAMA