Sukan Asia Hangzhou: Asnawi tamat penantian pingat kontinjen Malaysia
Bernama
September 26, 2023 16:19 MYT
September 26, 2023 16:19 MYT
HANGZHOU: Penantian Kontinjen Malaysia untuk pingat pertama di bumi Hangzhou berakhir apabila kem pelayaran menghadiahkan pingat gangsa pada hari ketiga temasya Sukan Asia 2022 hari ini.
Penghormatan sebagai pemenang pingat pertama bagi Kontinjen negara pada Sukan Asia kali ini diterima pelayar berusia 17 tahun, Asnawi Iqbal Adam dalam acara ILCA 4 lelaki di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, lebih kurang 170 kilometer (km) dari sini.
Walaupun Asnawi menamatkan perlumbaan terakhir daripada 11 perlumbaan di kedudukan kesembilan hari ini, beliau berjaya mengekalkan kedudukan ketiga dengan 42 mata penalti.
Emas menjadi milik pelayar Thailand Weka Bhanubandh (13 mata) manakala Isaac Goh (21) dari Singapura membawa pulang perak.
Asnawi yang gembira dan agak terkejut dengan kejayaan itu, berkata ia merupakan pencapaian terbaik dalam karier sukannya.
"Walaupun dapat meraih gangsa, saya perlu akui bahawa jurang di antara saya dan pelayar lain sangat besar.
"Walaupun latihan skuad kebangsaan di Langkawi agak baik, tetapi jika kita ada latihan di luar negara, kita boleh pergi lebih jauh," katanya ketika dihubungi.
Atlet remaja itu selepas ini akan mula bertanding dalam acara ILCA 6 atau ILCA 7 setelah melepasi had umur 17 tahun.
Kem pelayaran meneruskan rentak apabila menghadiahkan gangsa kedua menerusi Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen dalam acara Windsurfing RSX wanita.
Atlet berusia 19 tahun itu meraih 43 mata penalti selepas 14 pusingan perlumbaan di belakang pemenang gangsa edisi 2014 dan 2018 Siripon Kaewduang-Ngam (18) dari Thailand yang kali ini meraih emas, dan Ngai Wai Yan (20) dari Hong Kong yang membawa pulang perak.
Muhammad Izzudin Abdul Rani pula terpaksa berputih mata pada acara windsurfing RSX lelaki apabila menduduki tempat keempat dengan 54 mata penalti, hanya lebih dua mata berbanding pemenang pingat gangsa dari India, Eabad Ali (52).
Atlet Korea Selatan Cho Won-woo merangkul emas dengan 13 mata perlumbaan, manakala perak menjadi milik Natthaphong Phonoppharat (29) dari Thailand selepas 14 mata perlumbaan.
Sementara itu, gandingan Muhammad Fauzi Kaman Shah-Juni Karimah Noor Jamali menamatkan saingan acara International 470 campuran di kedudukan kelima dengan 49 mata selepas tamat kesemua 12 perlumbaan.
Emas menjadi milik wakil Jepun Keiju Okada-Miho Yoshioka (14), manakala Wenju Dong-Jingsa Wang (21) dari China dan Kim Jia-Cho Sung Min dari Korea Selatan (40) masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Nur Shazrin Mohamad Latif pula hampir pasti meraih emas acara ILCA 6 wanita, sekali gus meraih tiket ke Olimpik Paris 2024, sekiranya mampu berada dalam kedudukan lima teratas dan tidak melakukan sebarang kesilapan besar pada pusingan pingat esok yang menawarkan mata berganda.
Selepas 11 perlumbaan setakat ini, pemenang pingat gangsa edisi 2018 Jakarta-Palembang itu kekal di kedudukan teratas dengan 25 mata penalti, dengan kelebihan 12 mata berbanding Stephanie Norton (37) dari Hong Kong dan Victoria Jing Hua Chan (38) dari Singapura.
-- BERNAMA