Sukan Asia : Dhabitah menyinar, Mun Yee tanggung kesilapan

Astro Arena
Ogos 31, 2018 18:37 MYT
Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri sebelum ini meraih gangsa dalam acara 10 meter Synchro Platform Wanita Akhir pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 pada 28 Ogos lalu. - Gambar fail/Bernama
NUR DHABITAH SABRI mengetuai cabaran negara dalam final acara 1 meter papan anjal individu wanita selepas melepasi pusingan kelayakan dengan berada di kedudukan keempat ketika kesilapan terjunan keempat menyaksikan Leong Mun Yee sekadar menduduki tempat kesembilan.
Selepas menyumbang dua pingat dalam acara 10m platform seirama dan 3m papan anjal seirama sebelum ini, Dhabitah meneruskan motivasi baik apabila membuat terjunan 2.4m darjah kesukaran untuk meraih kutipan 50.40 mata.
Bagaimanapun, dia gagal untuk menyerlah dalam dua terjunan berikutnya dan kebangkitan dalam dua terjunan terakhir melayakkan dia berada dalam kalangan empat penerjun terbaik pusingan kelayakan, mengumpul 252.85 mata, sekali gus masih diletakkan sebagai prospek pingat dalam acara tersebut.
Sementara itu, Mun Yee yang turut bermula baik dengan jumlah mata yang sama seperti Dhabitah terpaksa menelan hakikat tatkala kesilapan dalam terjunan keempat hanya menyaksikan dia menerima 20.40 mata untuk akhirnya mengumpul 210.40 mata.
Seperti dijangka, dua penerjun China, Wang Han dan Chen Yiwen, mengisi dua kedudukan teratas, diikuti Kim Suji dari Korea Selatan.
#Leong Mun Yee #Nur Dhabitah Sabri #papan anjal individu #penerjun #Sukan Asia #tlet terjun
;