Sukan Asia: Azeem mahu bukti kemampuannya sebagai terbaik Asia Tenggara

Bernama
September 28, 2023 04:00 MYT
Azeem perlu berada pada prestasi terbaiknya untuk merealisasikan hasrat berkenaan. - Gambar fail/Sinar Harian
HANGZHOU: Raja pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mahu membuktikan dirinya sebagai jaguh Asia Tenggara apabila membuat penampilan sulungnya di Sukan Asia di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, di sini, pada Jumaat.
Bagi mencapai misi itu, beliau perlu mengatasi dua pesaing utama dari Asia Tenggara, iaitu bekas juara remaja dunia, Muhammad Zohri dari Indonesia yang mempunyai rekod peribadi 10.03 saat (s) dan raja pecut Asia Tenggara di Sukan SEA Hanoi 2021, Puripol Boonson dari Thailand dengan rekod 10.09s.
Azeem, 19, yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022, di Cali, Colombia, perlu berada pada prestasi terbaiknya untuk merealisasikan hasrat berkenaan selepas mencatatkan 10.25s untuk menamatkan saingan Kejohanan Asia di tempat kelima pada Julai lalu dan 10.24s di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos lalu.
Lalu, yang tidak lagi berada dalam prestasi terbaiknya dan Puripol tidak beraksi di Kejohanan Asia di Bangkok manakala pada Sukan SEA Hanoi 2021, tahun lalu, penyertaan Azeem pada final dibatalkan kerana false start.
"Sebulan selepas Kejohanan Dunia pada Ogos lalu, saya dan jurulatih (Ken Harnden) mengkaji segala kelemahan yang boleh mengganggu larian saya. Alhamdulillah, saya sudah kesan dan semuanya sudah diperbaiki sebelum datang ke sini.
""Jadi saya harap ia dapat membantu saya memperbaiki catatan masa di Sukan Asia," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di sini, pada Khamis.
"Walaupun catatan di Kejohanan Asia dan Dunia agak jauh berbanding rekod saya tetapi sebenarnya larian bagi tahun ini lebih memberangsangkan daripada tahun lepas. Purata catatan masa musim ini adalah 10.19s, berbanding 10.22s pada tahun lepas," katanya.
Azeem, yang bakal turun beraksi dalam saringan 100 meter (m) esok, sepatutnya tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir dan final acara riben biru itu berdasarkan catatan terbaik musim ini iaitu 10.11s..
Mengulas mengenai prestasi di Kejohanan Dunia, Azeem berkata beliau agak tertekan ketika itu bukan sahaja kerana prestasi dalam sukan tetapi juga pelajarannya yang terganggu kerana berada dalam fasa penyesuaian diri sejak menyertai Universiti Auburn di Amerika Syarikat, awal tahun ini.
Namun, bagi saingan di Hangzhou, Azeem telah mengambil langkah awal dengan menjalani sesi psikologi bersama pasukan pakar di universitinya serta mendapatkan bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bersedia dari segi fizikal dan mental.
Menurutnya, beliau telah belajar mengatasi tekanan dan tidak mahu memikirkan soal lain melainkan menikmati perlumbaan bagi membolehkan dirinya melakarkan catatan terbaik.
Bagaimanapun, beliau percaya catatan masa di bawah 10s semakin hampir dan hanya menunggu masa untuk merealisasikan impian itu.
Pentas Sukan Asia kali ini menyaksikan Jepun tidak menurunkan pelari terbaik mereka iaitu Abdul Hakim Sani Brown dan juara Asia, Hiroki Yanagita.
Namun kehadiran Yoshihide Kiryu dan Yuki Koike, kedua-duan pernah merekodkan masa terpantas 9.98s di samping pelari kelahiran Nigeria, Femi Ogunode (9.91s), yang mewakili Qatar dan wakil tuan rumah, Xie Zhenye (9.97s) dijangka menjadi pencabar utama pingat. - BERNAMA
#Sukan SEA #masa terpantas #jaguh Asia Tenggara #pesaing utama
;