Sukan Asia 2018: Pengguguran Fatehah wajar

Astro Arena
Jun 5, 2018 22:22 MYT
Kecederaan pergelangan tangan juga turut menjadi faktor dia tidak disenaraikan dengan melihat peluang untuk Fatehah membantu negara meraih pingat adalah tipis. - Gambar fail
PENGGUGURAN ratu trek negara, Fatehah Mustapa, adalah wajar berdasarkan prestasi semasa yang tidak konsisten bagi memberi ruang kepada pelumba yang lebih layak untuk bertanding dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak terkejut dengan keputusan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggugurkan Fatehah selepas menilai pencapaian hambar dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.
Kecederaan pergelangan tangan juga turut menjadi faktor dia tidak disenaraikan dengan melihat peluang untuknya membantu negara meraih pingat adalah tipis.
Meskipun Fatehah melakar sejarah dalam Sukan Asia Incheon 2014 apabila merangkul perak dalam acara keirin, Norza percaya percaturan PKBM yang meletakkan sandaran kepada atlet lain yang lebih berpotensi untuk menggalas cabaran di Jakarta-Palembang adalah tepat.
"Mereka mengatakan terdapat atlet lain yang lebih layak untuk mewakili PKBM dalam Sukan Asia.
"Saya sudah bertanyakan beberapa kali, PKBM meyakinkan kami bahawa mereka telah membuat keputusan yang tepat," kata Norza.
Hari kedua mesyuarat jawatankusa pemilihan terakhir atlet menyaksikan seramai 44 atlet disenaraikan dalam kategori A dan 98 orang bagi kategori B daripada 17 persatuan sukan yang hadir.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, tidak menolak kemungkinan sesetengah persatuan yang kekurangan bajet akan mengurangkan lagi bilangan atlet dalam kategori B.
"Walaupun dalam kategori B, mungkin persatuan yang tidak mempunyai sokongan kewangan akan menarik diri.
"Jadi, bilangan keseluruhan kontinjen negara akan turut berkurangan," ujarnya.
#Fatehah Mustapa #Jakarta-Palembang #MOM #Norza Zakaria #pelumba negara #pencapaian #prestasi #ratu trek negara #Sukan Asia
;